Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu stoking KK Mart: Pemimpin PKR Pulau Pinang tegur Nga
Diterbitkan:  Mar 19, 2024 6:28 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Pemimpin PKR Pulau Pinang Fahmi Zainol menggesa ketua whip parlimen DAP Nga Kor Ming supaya mengelak daripada mengulas isu kontroversi stoking tertera tulisan "Allah" di KK Mart.

Fahmi Zainol yang juga ahli majlis pimpinan negeri PKR Pulau Pinang berkata lebih baik Nga berdiam diri berhubung perkara itu daripada memburukkan keadaan.

"Tiada kaitan langsung perkara ini kepada YB Nga Kor Ming. Kenapa terburu-buru perlu ulas hal ini?

"Diam adalah lebih baik berbanding berkata-kata," katanya pada satu kenyataan hari ini.

"Jika YB Nga faham tentang menghormati kesucian agama masing-masing, sepatutnya beliau tidak perlu ambil campur perkara ini yang akan memburukkan lagi keadaan dalam negara kita," kata exco Pulau Pinang itu.

KK Mart telah dikritik teruk selepas stokin yang mengandungi perkataan Allah ditemui di kedai serbanekanya minggu lalu.

Nga semalam menegur Ketua Pemuda Umno Muhammad Akmal Salleh - salah seorang yang paling lantang dalam isu ini - kerana terus membangkitkan sentimen perkauman dan agama mengenai perkara tersebut.

Bagi Nga, permohonan maaf KK Mart di saluran dalam talian dan notis yang disiarkan di cawangannya sepatutnya sudah memadai.

Fahmi bagaimanapun menegaskan kontroversi itu merentasi sentimen perkauman atau agama semata-mata.

"Kesuciaan nama Allah menjadi kewajipan kepada orang islam untuk menjaga dan memartabatkannya," katanya yang juga Adun Pantai Jerejak.

Tambahnya, Nga sepatutnya menumpukan tugasnya sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan dan menyerahkan pihak berkuasa untuk menyiasat kes berkaitan KK Mart itu.

Awal hari ini, polis dilaporkan menemui lima pasang stokin tertera kalimah Allah di kilang pembekal yang menghantar stokin berkenaan ke KK Mart.

Lima pasang stokin berkenaan sebelum ini telah dihantar semula kepada pembekal selepas kontroversi tercetus.

Lihat Komen
ADS