Anggota keluarga bloger Nathaniel Tan, 26, yang sedang ditahan polis, berkata dia dalam keadaan baik dan "telah dilayan dengan baik".

"Saya rasa lega kerana kami dapat bertemu dengannya dan dapat bercakap dengannya. Dia dilayan dengan baik," kata bapanya, Bob Tan, ketika dihubungi hari ini.

Empat anggota keluarganya dan beberapa orang rakan rapatnya dibenarkan menemui Tan selama sejam hari ini pada kira-kira jam 3 petang di Jabatan Jenayah Komersial di Bukit Perdana, Jalan Dato Onn, di Kuala Lumpur.

Tan, yang sedang disoalsiasat di situ, kemudiannya dijadualkan dihantar semula ke ibupejabat polis Dang Wangi.

Keluarga Tan telah bertemu dengannya sebanyak tiga kali sejak dia ditahan - lewat malam Jumaat, pagi Sabtu dan hari ini. Dia ditahan reman sehingga esok.

"Dia dalam keadaan baik. Mereka bagi dia makan nasi goreng," kata Bob (kiri).

"Katanya, keazamannya tidak terjejas dengan pengalaman ini. Katanya, dia mendapat kekuatan daripada (ketua PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan (Ketua Penerangan PKR) yang pernah ditahan (sebelumnya)."

Tan adalah penyelenggara PKR.

Tan sedang disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi 1972, berhubung satu komen dalam blognya yang mengaitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Baharum dengan tuduhan rasuah.

Fail siasatan terhadap Johari telah ditutup selepas Peguam Negara berkata, tiada bukti yang boleh mengaitkan timbalan menteri itu dengan tuduhan rasuah terhadapnya. Berita asal