• Dikemas kini dengan tambahan komen BDS Malaysia.


McDonald’s Malaysia dalam proses menarik balik saman terhadap pelobi boikot Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) susulan serangan Israel terhadap Gaza, Palestin.

Keputusan itu dibuat setelah proses mediasi antara kedua-dua pihak mencapai hasil positif.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Azmir Jaafar berkata BDS juga baru-baru ini menjelaskan bahawa pengendali McDonald’s di Israel tidak mempunyai kaitan dengan McDonald’s Malaysia.

“Kami harap keputusan hari ini membolehkan semua pihak maju ke hadapan dan fokus kepada pencarian penyelesaian dan menegakkan keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (McDonald’s Malaysia), memfailkan saman sivil terhadap gerakan yang mempromosikan kempen memboikot perkara atau produk yang dikaitkan dengan Israel (BDS Malaysia) Disember tahun lalu, sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel ke atas Gaza.

GAR telah menuntut ganti rugi RM6 juta, termasuk jumlah kerugian hasil (RM3 juta), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan tamat tempoh bahan (RM1. 5 juta).

Dalam pernyataan tuntutannya, GAR berkata syarikat itu 100 peratus dimiliki oleh orang Islam dan 55 peratus daripada pelanggannya juga beragama Islam.

Plaintif berkata defendan menghasut orang ramai untuk membenci jenama McDonald’s kerana konflik antara Israel dan Palestin.

Sebagai tindak balas, BDS Malaysia menafikan memfitnah GAR dan berkata kumpulan terbabit tidak secara langsung berkempen menentang rangkaian gergasi makanan segera itu tetapi hanya menyokong kempen boikot yang dimulakan oleh rakyat Malaysia.

Menurut laporan media, pada Isnin, poses lanjutan mediasi melibatkan kes saman McDonald’s Malaysia terhadap BDS Malaysia adalah positif dan berjalan lancar.

Mediasi adalah alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh dengan mediator terdiri daripada hakim dan pegawai kehakiman berpengalaman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azmir berkata pendirian mereka kekal teguh, bahawa mereka tidak menyokong atau bersubahat dalam sebarang konflik atau peperangan.

“Setelah beroperasi selama lebih empat dekad di Malaysia dan menjadi perniagaan 100 peratus milik Muslim, kami berbangga menjadi ahli masyarakat setempat - tidak berbelah bahagi dalam komitmen kami terhadap ketelusan, amalan perniagaan beretika dan tanggungjawab sosial terhadap rakyat Malaysia.

“Hati kami berpihak kepada mangsa yang tidak bersalah di Gaza, yang terperangkap dalam konflik. Kami dengan tegas mengutuk semua bentuk keganasan dan berdoa untuk menamatkan perang dan keamanan yang berterusan.”

Tambahnya, McDonald’s Malaysia akan terus menyokong rakyat Palestin yang terjejas oleh keganasan melalui sumbangan kami kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan pelbagai inisiatif pengumpulan dana pekerja untuk terus menyokong usaha bantuan di Gaza.

McDonald’s dikelaskan sebagai ‘sasaran boikot organik’

Sementara itu BDS Malaysia berkata mereka tidak terkejut dengan keputusan McDonald's Malaysia itu.

“Kami tidak terkejut dengan keputusan mereka kerana kami konsisten berpegang bahawa dakwaan mereka tiada merit dan kurang asas undang-undang,” kata kumpulan itu.

BDS Malaysia juga berkata mereka akan tetap meletakkan McDonald’s bawah pengelasan “sasaran boikot organik”.

Sasaran boikot organik bermaksud boikot yang terjadi sendiri hasil tindakan orang ramai, tanpa sebarang kempen khusus.

“Kami menggesa masyarakat global terus memboikot Israel dan semua entiti yang terlibat dalam ketidakadilan sehingga Palestin mendapat kebebasan dan keadilan bagi semua rakyatnya, dari sungai hingga ke segara (laut),” katanya.

Dari sungai hingga ke segara adalah slogan politik popular ke arah pembebasan Palestin dalam wilayah dari Sungai Jordan hingga ke Laut Mediterranean.