Paling Popular
Terkini

Umno menyokong penuh pendirian lantang Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu penjualan stoking tertera tulisan kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi ketika ini.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata ketetapan tersebut dibuat sebulat suara kepimpinan parti itu dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, sebentar tadi.

"Isu yang dibawa Pemuda Umno adalah mewakili Umno, ia pun dibincangkan dalam MKT dan seluruh ahli majlis MKT menyokong penuh pendirian itu dan isu berkenaan isu Allah telah dibincang dalam MKT dan majlis MKT tadi sokong penuh pendirian Pemuda Umno,” katanya pada sidang media di lobi Menara Dato Onn, WTC Kuala Lumpur.

Akmal antara ahli politik yang paling lantang bersuara dalam isu ini, menggesa orang ramai memboikot KK Mart jika rangkaian kedai serbaneka tersebut tidak mengangkat kain rentang permohonan maaf.

Akmal juga sebelum ini menggesa orang ramai untuk membuat laporan polis.

Kontroversi tercetus minggu lalu apabila gambar stoking yang tertera perkataan ‘Allah’ dijual di kedai serbaneka KK Mart Bandar Sunway dan tular di media sosial.

Susulan kekecohan itu, KK Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stoking berkenaan.

Ini termasuk menamatkan kontraknya dengan Xin Jian Chang Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal yang berpangkalan di Batu Pahat, Johor.

Sementara itu, Asyraf berkata Umno tidak bimbang hubungan antara rakan parti dalam kerajaan campuran dalam isu ini.

“Tak ada apa yang terjejas, kerana yang penting seperti mana kenyataan tadi, Umno terus kekal teguh dengan pendirian mempertahankan kesucian agama Islam.

“Itu adalah matlamat perjuangan Umno. Bahkan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan ini pun kita meletakkan empat syarat penting,” katanya ketika ditanya jika pendirian membela Akmal itu boleh menjejaskan hubungan antara rakan sekutunya dalam kerajaan,.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata ia juga termaktub dalam perjanjian yang ditandatangi dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Satunya perjanjian dalam memulakan perundingan, satu lagi perjanjian dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita Umno meletakkan syarat, iaitu jangan sesekali meremehkan apa juga yang terkait dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Perkara 3. Kepentingan dan keistimewaan Melayu bumiputera dalam Perkara 153.

“Dan kedaulatan raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu,” katanya.

Tambah Asyraf, itu empat teras akar utama yang menjadi syarat kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Dan saya kira setakat hari ini pemimpin-pemimpin parti salam kerajaan perpaduan, menteri-menteri Kabinet juga menghormati perjanjian tersebut. Jadi tak ada masalah,” tegasnya.

Lihat Komen
ADS