Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu stoking tak jadi macam ni kalau Firdaus Wong terus lapor polis’
Diterbitkan:  Mar 25, 2024 1:39 PM
Dikemaskini: 10:25 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan komen Firdaus dan jangkaan KK Mart dituduh di mahkamah esok.


Isu jualan stoking bertulis kalimah Allah boleh diselesaikan dengan baik jika penceramah Firdaus Wong terus membuat laporan polis, kata Chiong Yoke Kong.

Bagaimanapun, kata ahli jawatankuasa DAP Pahang itu, Firdaus sebaliknya menularkannya di media sosial.

“Tetapi apanya beliau buat, beliau tularkan isu ini di sosial media, api-apikan keadaan, mencetuskan kemarahan rakan-rakan Muslim.

“Kalau ini bukan hasut apa lagi?” soal bekas anggota Dewan Undangan Negeri DAP bagi kawasan Tanah Rata, Pahang itu.

Firdaus sebelum ini berkata dia tidak mengajak orang ramai memboikot KK Mart.

Bagaimanapun terdapat perselisihan antara mereka berdua apabila Chiong menulis komen di sebuah video ceramah Wong dengan menyifatkannya sebagai “kaki hasut” dan “sampah masyarakat”.

Firdaus pula membalasnya dengan berkata ia cerminan akhlak Chiong. 

Pendakwah mualaf itu juga mengundang Chiong ke siri bual bicaranya untuk berbahas tajuk “Siapa sampah masyarakat”.

Chiong bagaimanapun tidak berminat.

“Oleh itu katanya nak bicara nak bahas tidak payahlah. 

“Siapa yang makan cili siapa yang rasa pedas,” katanya yang juga bekas setiausaha politik menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Nga Kor Ming.

Memetik pepatah Cina bahawa seseorang itu akan dinilai dengan adil oleh masyarakat, Chiong mengingatkan bahawa semua pihak  bertanggungjawab mengekalkan kedamaian rakyat.

“...jangan sesekali menimbulkan pelbagai persepsi dan provokasi di media sosial sehingga mengakibatkan keadaan sosial, ekonomi dan politik tidak stabil,” katanya.

Firdaus mahu hantar ‘surat cinta’

Sementara itu, Firdaus sebentar tadi menyatakan hasrat untuk menghantar ‘surat cinta’ kepada Chiong.

“Ada sesiapa yang tahu alamat Chiong Yoke Kong atau mungkin tuan badan sendiri berani untuk berkongsikan alamatnya kepada saya?

“Peguam saya ada surat cinta kepada saudara Chiong,” katanya di media sosial.

Firdaus berkata tiada masalah Chiong tidak mahu berbahas dengannya tetapi “janganlah sampai mengeluarkan kenyataan yang tak sepatutnya”.

“Awak bekas YB mesti tahu undang-undang kan. Saya dulu kini selamanya adalah YB, Yang Berdakwah.

“Lepas ini kita sembang menerusi peguam sahaja, saudara Chiong,” katanya.

KK Mart telah memohon maaf dan menarik balik jualan stoking yang diimport dari China itu.

Bagaimanapun KK Mart dan bekas pembekalnya dijangka didakwa di mahkamah esok berhubung itu itu.

Lihat Komen
ADS