Paling Popular
Terkini

PARLIMEN l Kerajaan akan menerima anggaran pendapatan sebanyak RM3 bilion hasil daripada kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia yang juga menteri kewangan berkata, kenaikan itu juga disebabkan skop serta peningkatan cukai tersebut.

"Melalui skop dan perubahan kadar cukai perkhidmatan ini, kerajaan menjangkakan akan mengutip hasil berjumlah RM3 bilion," katanya di Dewan Rakyat pagi ini pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

Bagaimanapun, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata bahawa jumlah RM3 bilion itu dianggap masih kecil jika mengambil kira perbelanjaan kerajaan.

Cukai perkhidmatan dinaikkan kepada 8 peratus berkuatkuasa 1 Mac lalu berbanding kadar 6 peratus sebelum ini. Bagaimanapun, kadar baru itu tidak melibatkan perkhidmatan telekomunikasi, caj parkir serta untuk makanan dan minuman.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVG) 10 peratus bagi jualan dalam talian (e-dagang), Cukai Perkhidmatan Digital (DST) lapan peratus, dan Cukai Keuntungan Modal (CGT) serta Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang masing-masing 10 peratus.

Perkara ini diumumkan oleh Anwar atas kapasitinya sebagai menteri kewangan semasa pembentangan Bajet 2024.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara sambil mengurangkan defisit perbelanjaannya.

Sementara itu, Anwar mempertahankan kenaikan SST dengan berkata ia tidak menjejaskan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.

Tambahnya, cukai tersebut mempunyai skop yang kecil dan banyak pengecualian termasuk utiliti seperti air dan petrol.

Katanya, ia hanya memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti berkaitan perkhidmatan budi bicara dan aktiviti antara perniagaan.

Lihat Komen
ADS