Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | "Nasib baik aku hafal al-Quran, kalau tidak boleh jadi gila di penjara," kata penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin, yang baru saja menghabiskan hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas kes hasutan terkait Sultan Selangor pada 2014.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini susulan pembebasannya baru-baru ini, Wan Ji mengakui berada bersendirian dalam bilik di blok pengasingan selama tiga bulan hampir menjadikan dia hilang kewarasan.

"(Kebiasaanya)... blok pengasingan hanya untuk orang yang bergaduh, hisap rokok atau hisap dadah. Mereka diasingkan pada suatu blok, namanya, ‘Blok Insaf'.

"Banduan akan duduk di situ 14 hari atau kurang. Tapi, aku sejak awal sampai akhir, diletakkan di situ. Tiga bulan 10 hari ada di blok pengasingan.

"Blok pengasingan ini semuanya ditutup.

"Satu bilik itu selalunya ada empat katil untuk empat orang. Orang lain boleh duduk dua, tiga atau empat orang, tapi aku tidak dibenarkan, sebaliknya berseorangan saja.

"Aku satu-satunya orang yang menghabiskan tempoh penjara di ‘Blok Insaf’ seorang dalam bilik.

"Sebab itu agak tertekan, hampir menjadi gila. Nasib baik aku hafal al-Quran, bayangkan orang yang tak hafal al-Quran, aku rasa akan jadi gila," katanya.

Ikut ke mana semut pergi

Wan Ji bebas memulakan hukuman penjara tersebut pada 25 Sept 2023 apabila rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak.

Mulai  1 Jan lalu dia menyertai program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sebelum bebas sepenuhnya pada 22 Mac.

Melalui PBSL dia dibenarkan tinggal di luar penjara namun pergerakannya tetap terhad. Dia tidak boleh ke mana-mana kecuali mendapat kebenaran khas daripada Jabatan Penjara.

Menceritakan lebih lanjut hidupnya di balik jeriji besi, Wan Ji berkata kesunyian dan keseorangan dibatasi ruang yang terhad, dia juga tidak lagi dapat menyedari perjalanan waktu.

Ia meletakkan Wan Ji tidak dapat tahu pun bila masuknya waktu untuk solat lima kali sehari. Justeru jika terbangun dari tidur pada sesuatu masa, dia sendiri tidak tahu perlu sembahyang Subuh atau tahajud.

Keadaan itu memaksa dia menjalin hubungan dengan sesuatu yang 'unik'.

"Duduk berseorangan membuat semut menjadi kawan kita," katanya.

Pada hari pertama di situ, tambah Wan Ji, dia terniat untuk membunuh semut yang menjalar di tempat tahanannya. Namun keadaan itu berubah 48 jam kemudian.

"Masuk hari ketiga aku tak bunuh dah, aku ikut saja semut pergi ke mana," katanya.

Tidak cukup dengan itu Wan Ji berkata keadaan pencahayaan yang tidak memadai - walaupun lampu sentiasa terpasang - membuat dia mengalami masalah pandangan kabur.

Kerana itu, katanya, dia terpaksa menukar cermin mata yang baru selepas dibebaskan kerana cermin mata lama sudah tidak mencukupi membantu penglihatannya.

Ditanya lebih lanjut, Wan Ji berkata dia tidak pasti sama ada pengasingannya di 'Blok Insaf' itu memang prosedur yang biasa dilakukan pihak berkuasa atau memang disengajakan.

Novel cinta tak kesampaian

Menghabiskan masanya setiap hari, Wan Ji berkata, selain solat dia membaca dan menulis. Bahan bacaan pula diperoleh daripada buku yang dibawa peguamnya.

"Dia melawat saya setiap minggu dan membawa bahan bacaan. Pihak penjara benarkan hanya tiga naskhah buku saja bagi sesuatu masa. Maka, apabila habis baca sesuatu buku baru boleh tukar yang baru," katanya.

Lepas institusi pengajian hadis di Pakistan itu memberitahu sepanjang tempoh menjalani hukuman berkenaan dia berjaya menghabiskan pembacaan 30 buah buku.

Wan Ji bersama peguamnya, Saiful Izham Ramli

Selain membaca, dia juga menulis dua buah naskhah buku agama iaitu syarah terhadap 80 hadis Sahih al-Bukhari serta pengenalan Sunan al-Tarmizi dan istilah-istilahnya.

Turut berjaya disiapkan, sebuah buku mengisahkan kerinduan Nabi Yaakub, dan Zulaikha terhadap Nabi Yusuf, serta novel cinta yang diberi tajuk Cinta Di Medan Kashmir.

“Ia menceritakan kisah percintaan yang terhalang ekoran gerakan militan ISIS, tetapi mereka berjaya disatukan semula kerana proses antikeganasan," katanya.

Namun Wan Ji kurang bernasib baik apabila buku yang ditulis tangan sehingga bab ke- 72 itu dirampas pihak Penjara Kajang.

Sementara itu semasa berada di situ, Wan Ji berkata dia tidak digalakkan bergaul dengan banduan lain.

"Maksudnya, kalau warden nampak saya bercakap dengan sesiapa, dia akan buat isyarat supaya saya jangan bercakap.

"Jadi, yang saya boleh buat cuma curi-curi bercakaplah," katanya.

Turut sempat dialami Wan Ji di penjara itu ialah berjaya memujuk seorang banduan yang merancang untuk membunuh diri, serta menyaksikan seorang daripada tahanan diislamkan.


Bahagian 1:
Wan Ji: Najib dapat layanan 'sangat istimewa' di penjara

Lihat Komen
ADS