Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet lulus projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang
Diterbitkan:  Mar 29, 2024 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Jemaah menteri telah meluluskan cadangan pembangunan Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang pada Mac lalu yang dijangka siap pada 2030.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan telah memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek tersebut.

Semasa sidang media di Putrajaya hari ini, Loke berkata projek ini terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu Pulau Silikon - Komtar (Segmen 1), Komtar - Penang Sentral (Segmen 2), dan kontrak turnkey kerja-kerja sistem dan stokereta (systems and rolling stocks).

"SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) akan ditawarkan kontrak ini melalui mekanisme Single Sourcing Request for Proposal,” katanya.

Loke berkata tawaran itu berdasarkan permintaan kerajaan Pulau Pinang yang telah melantik SRS sebagai Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner) kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang merangkumi LRT Laluan Mutiara melalui tender terbuka pada Ogos 2015.

Dia berkata SRS juga telah melaksanakan kajian-kajian teknikal dan rekabentuk awalan di samping memperolehi kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan Skim Kereta Api bersyarat.

"Nilai kontrak dan butiran terperinci yang berkaitan adalah tertakluk kepada proses rundingan antara MRT Corp dan SRS yang perlu dimuktamadkan dalam tempoh masa 6 bulan,” jelasnya.

Loke menambah Segmen 2 dan kontrak turnkey kerja-kerja sistem dan stokereta akan dibuat melalui tender terbuka.

Menurutnya, pembinaan depoh operasi stokereta (Operations Depot) akan dirancang dan dibangunkan sekali dengan projek pembangunan bersepadu berorientasikan transit (TOD) di Tapak Pesta, Sungai Nibong secara usahasama antara MRT Corp dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Strategi baru ini bertujuan menjana hasil bukan tambang (non fare revenue) tambahan yang penting untuk dilaburkan balik dalam penyelenggaraan LRT Pulau Pinang pada masa hadapan,” katanya.

Selain memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang, Loke berkata projek itu memudahkan perjalanan pekerja yang berulang alik dari Perlis, Kedah dan Perak Utara setiap hari dengan kesinambunngan bersama rangkaian KTM.

Jarak jajaran projek LRT Laluan Mutiara dianggarkan lebih kurang 29km dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran, iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral.

Lihat Komen
ADS