Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: Adakah Padu jenaka April Fool untuk rakyat?
Diterbitkan:  Apr 1, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Naib Presiden MCA Wee Jeck Seng menyifatkan pengumuman terbaru mengenai pendaftaran automatik Pangkalan Data Utama (Padu) benar-benar membodohkan rakyat.

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana ia boleh membenarkan pendaftaran automatik bagi 30 juta rakyat sedangkan soal privasi dan pendedahan maklumat peribadi masih tidak dapat diselesaikan.

“Kerajaan telah meletakkan data peribadi orang ramai di bawah risiko kebocoran serta kecurian identiti oleh penggodam.

“Walaupun tarikh akhir pendaftaran Padu adalah 31 Mac 2024, hanya 10.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar di seluruh negara.

“Dua pertiga daripada penduduk kita bangun pagi ini dan mendapati bahawa mereka telah didaftarkan secara automatik ke dalam Padu.

“Pengumuman terbaru ini benar-benar membodohkan rakyat biasa yang beratur panjang untuk mendaftar Padu selepas diberi tanggapan bahawa pendaftaran adalah wajib,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perangkawan Uzir Mahidin yang memaklumkan, individu yang tidak mendaftar sistem Padu sehingga berakhir 31 Mac 2024 akan dimasukkan ke dalam sistem secara automatik.

Sementara itu Wee berkata, dua pertiga lagi penduduk yang tidak mendaftar kini mempunyai kebimbangan tambahan sama ada maklumat peribadi mereka mungkin bocor atau dicuri.

“Kerajaan berulang kali menggunakan alasan ancaman kehilangan subsidi bagu meminta orang ramai mendaftar sistem Padu.

“Bagaimanapun, ia juga berdegil memekakkan telinga terhadap isu keselamatan Padu, dengan tidak menghiraukan kebimbangan rakyat tentang kebocoran data peribadi atau kecurian identiti selepas mendaftar dengan Padu

“Kerajaan tetap tidak mahu mengakui bahawa rancangannya telah gagal dan kini menggunakan pendaftaran Padu automatik untuk rakyat Malaysia - ini bersamaan dengan merisikokan data peribadi setiap orang,” dakwanya.

Justeru dia menggesa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli tampil menjelaskan dan mengakui bahawa projek Padu gagal.

“Ini kerana tidak kira mendaftar atau tidak, semua orang akan ‘diPadukan’ pada akhirnya.

“Kedua, jika akaun anda telah digodam atau maklumat peribadi dibocorkan atau diselewengkan, adakah kerajaan akan bertanggungjawab?

“Ketiga, sebagai tambahan kepada RM80 juta yang dibelanjakan untuk projek pendaftaran Padu, berapakah jumlah modal insan, sumber material dan kos kewangan keseluruhan projek ini daripada penggubalan, pembangunan sehinggalah promosi?” kata ahli Parlimen Tanjung Piai itu.

Lihat Komen
ADS