Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Zahid arah Pemuda Umno henti isu stoking kalimah Allah'
Diterbitkan:  Apr 3, 2024 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno melalui Presidennya Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan supaya ketua pemuda parti Dr Akmal Saleh berhenti daripada terus memainkan isu stoking tertera kalimah Allah.

Ahli MKT Umno Bung Moktar Radin yang memaklumkan perkara itu berkata arahan tersebut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya menghentikan isu berkenaan daripada terus menjadi polemik.

Katanya, tidak timbul soal bersetuju atau tidak dengan tindakan Akmal menekan KK Mart dalam isu itu kerana Umno telah membuat keputusan mahu perkara itu dihentikan.

"Presiden Umno sudah minta Akmal (menghentikannya) dan menjelaskan bahawa KK Mart tidak membuat perancangan mengenai perkara itu, kita terima hakikat perkara itu perlu dihentikan.

"Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya menghentikan isu itu dan bagi saya itu sudah memadai," kata Bung seperti dipetik Berita Harian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Umno Sabah bersama media dan anak yatim, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Pada Mac, Umno dilaporkan menyokong penuh pendirian lantang ketua Pemuda Umno berhubung isu penjualan stoking tertera tulisan kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi ketika ini.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata ketetapan tersebut dibuat sebulat suara kepimpinan parti itu dalam mesyuarat MKT Umno.

Sementara itu Bung yang juga ahli parlimen Ahli Parlimen Kinabatangan turut membidas kenyataan seorang pemimpin veteran di negeri itu yang mengaitkan isu KK Mart dengan Umno Sabah.

Katanya selepas puluhan tahun menghilangkan diri tiba-tiba bekas Adun Petagas James Ligunjang mengeluarkan kenyataan meminta rakyat Sabah menolak Umno disebabkan isu KK Mart.

Gesaan itu tidak berasas sama sekali, kata Bung.

"Umno Sabah tidak terbabit, tapi hari ini (semalam) saya nampak kenyataan Datuk James Ligunjang mengaitkan pula Umno Sabah dengan KK Mart dan minta rakyat Sabah menolak Umno kerana kononnya kita ekstremis.

Jangan kaitkan Sabah dengan isu KK Mart

"Selepas 25 tahun tidak muncul di khalayak umum, sekarang tiba-tiba dia kaitkan Umno Sabah dengan ekstremis. Kita bukan ekstremis, saya setiap hari jumpa rakan bukan Islam, makan bersama, kerja sama-sama dan apabila turun padang kita jumpa ramai rakyat bukan Islam.

"Kita juga ada pemimpin dan ahli yang bukan Islam dalam Umno Sabah, jadi lepas ini ahli kita yang bukan Islam ini bolehlah minta James mendiamkan diri.

"Jangan kait Umno Sabah dengan KK Mart dan jangan kait apa yang berlaku di Semenanjung dengan Sabah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS