Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengku Zafrul kecewa macam-macam tak ada pada Umno Selangor
Diterbitkan:  Apr 6, 2024 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Banyak yang "tidak ada" pada Umno Selangor menjadi punca Tengku Zafrul Abdul Aziz melepaskan jawatannya sebagai bendahari kepada parti itu baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri itu berkata Umno Selangor mencatatkan keputusan sangat buruk dalam sejarah, bermula dengan PRU ke-15 pada 2022 diikuti dengan pilihan raya negeri (PRN) kira-kira setahun kemudian.

Dalam keadaan begitu, kata Tengku Zafrul, dia mengingatkan bahawa keputusan tersebut menjadi amaran terakhir untuk Umno Selangor berubah dan menyedari realiti.

"Sekarang ini sudah lapan bulan selepas PRN, masih tak ada apa-apa.

"Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baru tawan hati rakyat? Tak ada," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, jika pandangannya untuk mengubah segera keadaan tidak diterima, lebih wajar untuk dia melepaskan jawatan di peringkat negeri untuk memberi fokus di peringkat pusat dan pada masa sama, bahagian Kota Raja yang diketuainya.

Pada 1 April lalu Malaysiakini melaporkan peletakan jawatan bekas ahli perbankan itu dengan menyatakan hala tuju Umno Selangor dilihatnya tidak sehaluan dengan kepemimpinan di peringkat pusat.

Malah katanya perancangan untuk memperkasa Umno di Selangor bersifat hambar.

Terap budaya intelek baru

Sehari kemudian Umno Selangor menafikan dakwaan Tengku Zafrul dan menganggap dia sepatutnya berbincang atau menulis surat secara rasmi terlebih dulu kepada parti sebelum membuat keputusan tersebut.

Malah Ketua Penerangan Umno Selangor Mohd Zaidi Md Zain tidak menolak kemungkinan keputusan diambil Tengku Zafrul berpunca daripada pengaruh daripada pihak ketiga.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut siapa pihak ketiga yang dimaksudkannya itu.

Menurut Tengku Zafrul untuk mengembalikan kekuatannya, Umno Selangor perlu mengambil beberapa langkah segera.

Pertama, katanya, Umno Selangor perlu melakukan kajian sikap yang ikhlas bagi mengenal pasti perasaan dan denyut nadi rakyat negeri itu secara keseluruhan.

Kedua pula, tambah senator itu, memodenkan organisasi agar bersifat kos efektif, pantas berkomunikasi, dan terbuka menerima pandangan daripada akar umbi.

Tidak ketinggalan Tengku Zafrul juga menekankan kepentingan Umno Selangor meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, selain memanfaatkan data serta analisis yang tepat.

"Ketiga, mencari pelapis dengan hati yang terbuka. Ini penting kerana pada akhirnya, organisasi Umno Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan," katanya.

Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa rangka kerja yang bersifat menang-menang dengan rakan-rakan Umno Selangor perlu dilaksanakan segera.

"Kelima dan yang paling penting, kita perlu terapkan budaya politik intelektual baru, fokus kepada penyelesaian dan dasar, buang amalan cah keting.

"Jika kita tidak ubah budaya ini, tidak kiralah setebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa," katanya.

Pada masa sama bekas menteri kewangan itu juga mengingatkan dia tetap komited kepada Umno Selangor dan Kota Raja, serta mahu parti itu kembali dihormati rakyat.

"Jalan itu tidak mudah. Kita perlu bekerja keras, tetapi inilah resam perjuangan dan impian yang wajib dilaksanakan," katanya.

Lihat Komen
ADS