Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keahlian tujuh wakil rakyat Bersatu sokong Anwar sudah tergugur - Razali
Diterbitkan:  Apr 12, 2024 11:45 AM
Dikemaskini: 6:43 AM
6

Keahlian enam ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu  yang berpaling tadah dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik, kata ketua penerangan parti,  Razali Idris.

Justeru, katanya, mereka perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing dan tidak menunggu surat pemecatan.

Jelasnya, keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu pada 2 April lalu.

"Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan perlembagaan parti seperti diluluskan ROS.

"Enam ahli Parlimen dan Adun digesa tidak menunggu surat daripada Bersatu, sebaliknya jika anak jantan (gentleman), lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi," katanya seperti yang dipetik oleh Berita Harian, hari ini.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi melucutkan keahlian parti bagi wakil rakyat yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) dengan perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu.

Setakat ini, enam ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Manakala Adun yang terbabit pula ialah Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Mengulas lanjut, Razali yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Bersatu berkata, semua mereka wajar menumumkan kekosongan kerusi bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

"Jangan jadikan alasan menunggu notis daripada Bersatu untuk membuat keputusan," katanya lagi.

Lihat Komen
6
ADS