Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ROS lulus pindaan perlembagaan Bersatu
Diterbitkan:  Apr 2, 2024 4:06 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan usul pindaan perlembagaan Bersatu, kata Ketua Armada parti itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Sehubungan itu, katanya, langkah seterus Bersatu adalah mengosongkan enam kerusi parlimen supaya pilihan raya kecil (PRK) dapat diadakan.

“ROS telah lulus permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan kami mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang telah menyokong Anwar Ibrahim.

"Langkah seterusnya mengosongkan kerusi-kerusi mereka ini untuk PRK peringkat Parlimen," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dia turut menyiarkan salinan surat kelulusan itu yang bertarikh 1 April lalu yang ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan, Mohd Zulfikar Ahmad.

Menurut surat itu, peruntukan undang-undang baru tersebut menggantikan undang-undang lama yang berkuatkuasa, semalam.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi melucutkan keahlian parti bagi wakil rakyat yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) dengan perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu.

Artikel itu menetapkan perkara berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti, iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Setakat ini, enam ahli parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Manakala Adun yang terbabit pula ialah Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal ketika dihubungi Malaysiakini berkata, Bersatu akan mengutuskan surat kepada semua wakil rakyat berkenaan.

“Ya, kita akan tulis surat tunjuk sebab kepada enam-enam (mereka) ini untuk dia nyatakan pendirian dia.

“Kalau dia (mereka) tidak mahu menarik sokongan kepada PM kita akan ambil tindakan disiplin untuk gugurkan keahlian mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS