Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konflik Iran-Israel: K'jaan pantau pasaran kewangan, kesan ke atas Malaysia
Diterbitkan:  Apr 14, 2024 8:53 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Kerajaan sedang memantau rapat perkembangan yang berlaku di Timur Tengah susulan serangan Iran terhadap Israel.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga memantau kedudukan pasaran kewangan serta potensi kesannya terhadap Malaysia.

"Kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan tersebut dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia.

"Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kerajaan juga mengambilkira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat khas melibatkan perdana menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, serta pegawai tinggi kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

Mesyuarat itu diadakan susulan tindakan Iran melancarkan serangan udara ke atas Israel, sebagai tindak balas terhadap pengeboman konsulatnya di Syria.

Iran memberi amaran negara itu akan melakukan serangan lebih keras sekiranya Israel atau sekutunya bertindak balas.

Serangan itu menyebabkan penutupan sementara ruang udara di Iraq, Lubnan dan Jordan. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.

Meskipun negara-negara berkenaan bukan rakan dagangan utama Malaysia, gangguan penerbangan antarabangsa akibat konflik di Timur Tengah boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara ini.

Ketegangan di Timur Tengah turut berpunca daripada serangan berterusan Israel ke atas Gaza yang telah membunuh lebih 33,000 orang termasuk kanak-kanak dan wanita.

Anwar dalam kenyataannya berkata Malaysia berpendirian semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.

"Semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut. Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.

"Walaubagaimanapun, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini. Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan," tegasnya.

Lihat Komen
ADS