Paling Popular
Terkini
1

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam bersetuju untuk menerbitkan permohonan maaf secara terbuka kepada bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Permohonan maaf secara terbuka Lokman, yang akan disiarkan di laman Facebook dan YouTubenya, adalah sebahagian daripada syarat penyelesaian saman fitnah Khairy terhadapnya berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan usaha vaksinasi Covid-19 kerajaan di Malaysia pada 2021.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini merekodkan penyelesaian antara pihak terlibat, dengan Lokman juga bersetuju untuk membayar jumlah pampasan yang tidak didedahkan kepada Khairy.

Semasa memfailkan tindakan sivil pada Jan 2022, Khairy mendakwa dia telah difitnah melalui siaran media sosial, termasuk dakwaan bahawa plaintif dikatakan bertindak melulu dan/atau tidak bertanggungjawab dalam perolehan vaksin Covid-19 untuk program vaksinasi di Malaysia.

Pengacara podcast Keluar Sekejap itu juga mendakwa dia telah difitnah dengan dakwaan yang dikaitkan dengan status vaksinasi Covid-19nya.

Tindakan sivil itu pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan penuh minggu ini. Bagaimanapun, hari perbicaraan telah dikosongkan berikutan penyelesaian hari ini.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan hakim mahkamah sivil Johan Lee Kien How hari ini, peguam Khairy Abdul Rashid Ismail memaklumkan bahawa plaintif dan defendan telah menandatangani penghakiman persetujuan.

“Defendan bersetuju untuk memadam tujuh kiriman yang terdiri daripada gambar, video dan kenyataan, yang disiarkan di laman Facebook dan YouTube defendan.

“Defendan telah bersetuju untuk tidak menerbitkan semula atau berkongsi semula kenyataan berunsur fitnah.

“Defendan telah bersetuju untuk menerbitkan permohonan maaf atas syarat yang dipersetujui, dan akan diterbitkan di laman Facebook dan YouTube defendan, dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

"Defendan telah bersetuju untuk membayar jumlah yang tidak didedahkan sebagai pampasan (kepada plaintif)," kata Abdul Rashid ketika peguam Lokman Logen Eskander Abdullah hadir di mahkamah.

Lee kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dan tidak membuat sebarang perintah mengenai kos, serta menyampaikan penghargaan mahkamah sivil terhadap usaha kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara itu.

Ketika ditemui media selepas prosiding itu, Khairy berkata dia berterima kasih kepada mahkamah sivil dan semua pihak atas resolusi itu.

Lokman tidak hadir di mahkamah.

Lihat Komen
1
ADS