Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM arah Lazada padam iklan Kingu Ginseng Candy
Diterbitkan:  Apr 15, 2024 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Platform e-dagang Lazada diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk gula-gula ginseng keluaran tempatan iaitu “Kingu Ginseng Candy” yang dikesan mengandungi tadalafil, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Kementerian itu memaklumkan hasil siasatan Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) juga mendapati label produk terbabit tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar, empunya hak untuk mengilang dan pengimport.

"Sehubungan dengan itu, pihak Lazada telah diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk terbabit serta-merta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini, susulan laporan media mengenai nasihat yang dikeluarkan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) terhadap produk itu yang dikesan mengandungi tadalafil.

Tadalafil ialah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat-ubat yang mengandungi tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

Menurut KKM, penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Justeru, KKM menyeru mana-mana peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk berkenaan untuk menghentikan serta-merta penjualan produk berkaitan dan semua platform e-dagang serta media sosial diminta untuk menghentikan penyiaran kandungan iklan makanan itu serta-merta.

“Orang ramai yang sedang menggunakan produk berkenaan pula perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

KKM juga memaklumkan status keselamatan produk-produk di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual termasuk tadalafil sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Menurut KKM, sejak 2018 sehingga kini, daripada 1,575 sampel produk yang telah diambil kerana disyaki mengandungi racun berjadual, 32 sampel atau 2.03 peratus didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat dan produk terlibat,” menurut KKM.

- Bernama

Lihat Komen
ADS