Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek kes tembak di KLIA sihat secara fizikal, kata polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, hari ini memaklumkan suspek yang terbabit dalam kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa KL berada dalam keadaan "sihat".

Bagaimanapun dia tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai lelaki terbabit yang ditahan di Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 3 petang tadi.

Menurut Mohd Shuhaily, perincian mengenai tangkapan yang dibuat oleh pihak polis itu akan dimaklumkan dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, esok.

“Buat masa ini kita (polis) sedang proses (siasatan) lagi untuk dapatkan permohonan tahanan reman.

"Suspek berada dalam keadaan sihat secara fizikalnya.

“Polis akan adakan sidang media pada jam 9 pagi esok di IPK Kelantan,” katanya kepada media ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Polis dijadual membuat permohonan untuk menahan reman lelaki terbabit di Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi esok.

Terdahulu suspek yang dikenali sebagai Hafizul Marawi, 38, dilaporkan ditahan di Kota Bharu selepas melarikan diri selama kira-kira 36 jam sejak cuba menembak isterinya di KLIA.

Suspek disyaki melepaskan dua das tembakan di dipercayai disasarkan untuk seorang wanita pengendali umrah dalam kejadian awal pagi semalam.

Bagaimanapun tembakan tersebut terkena seorang daripada dua pengawal peribadi wanita terbabit yang menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

Hafizul kemudian melarikan diri dari lapangan terbang berkenaan dan pihak polis segera menjalankan usaha menjejak sehingga berjaya menangkapnya.

Lihat Komen
ADS