Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA (KLIA) - yang kini direman - merancang untuk melarikan diri ke Mekah melalui sempadan Kelantan-Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata selepas menjadi buruan pihak berkuasa ada kemungkinan Hafizul Hawari cuba meloloskan diri melalui sempadan berkenaan untuk bersembunyi di negara lain.

Bagaimanapun, katanya, polis belum dapat mengesahkan kaedah yang mahu digunakan lelaki terbabit bersama persediaan yang dibuatnya, termasuk sejumlah wang asing serta pasport.

“Memang dia kerap ke luar negara, (justeru) saya tak menyangkal kemungkinan itu (mahu menuju ke Mekah), tapi setakat ini ia masih lagi suatu kemungkinan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hafizul, 38, diberkas pihak berkuasa di Kota Bharu semalam selepas menjadi buruan kerana melepaskan tembakan ke arah isterinya di KLIA pada awal pagi kelmarin.

Mohd Shuhaily (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai barang yang dirampas polis daripada Hafizul di IPK Kelantan, hari ini, disaksikan Ketua Polis Kelantan, Zaki Harun (kiri).

Bagaimanapun tembakan tersebut terkena seorang daripada dua pengawal peribadi wanita berkenaan.

Mohd Shuhaily berkata tangkapan ke atas suspek berkenaan dibuat ketika dia mahu mengambil laporan ujian kesihatan di sebuah hospital swasta di Kota Bharu.

Katanya lelaki terbabit juga menginap di sebuah hotel berhampiran dengan hospital berkenaan.

Antara barangan suspek yang dirampas polis

Menurut Mohd Shuhaily selepas kejadian di KLIA itu suspek terus bergerak ke Kelantan menggunakan sebuah kereta jenis Honda Civic yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dia dikesan pihak berkuasa.

“Polis mendapat maklumat bahawa suspek menginap di sebuah hotel di Kota Bharu, dari situ intipan dibuat sehinggalah membawa kepada penahanan suspek di hadapan sebuah hospital swasta.

“Suspek ketika itu mahu mengambil laporan ujian kesihatan dari hospital berkenaan,” katanya.

Suspek bertindak sendiri

Susulan tangkapan itu Mohd Shuhaily berkata polis merampas sepucuk pistol jenis Glock-19 beserta lapan peluru hidup selain sekotak peluru dengan 24 butir peluru hidup serta enam telefon bimbit.

Tidak ketinggalan polis juga menemui dan merampas pasport milik suspek bersama sejumlah mercun bola, wang tunai dalam bentuk mata wang bhat Thailand dan riyal Arab Saudi, tiga kunci kereta, seutas jam tangan dan empat kad pengenalan milik orang lain.

Tambahnya berdasarkan siasatan awal juga, polis mendapati suspek seorang hafiz dan pernah belajar di sebuah pondok di Repek, Pasir Mas.

“Semasa soal siasat kami dapati suspek seorang hafiz, mahir dalam bidang agama dan al-Quran," katanya.

Ditanya mengenai motif serangan, Mohd Shuhaily berkata, polis percaya ia masih berkisar tentang isu peribadi di antara suspek dan isterinya.

"Buat masa ini tidak ada motif lain," katanya.

Kata Mohd Shuhaily, polis juga yakin suspek bergerak sendirian dan tidak mempunyai sebarang rangkaian atau perancangan dengan orang lain.

Sementara itu Mohd Shuhaily berkata suspek akan dibawa pulang ke Selangor untuk membolehkan polis menyelesaikan segala kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cuba membunuh.

“Polis juga akan panggil semula beberapa saksi untuk memperkemaskan lagi siasatan sebelum dibawa ke peringkat pendakwaan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS