Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subkontraktor gagal, kolam selam tempur lambat siap - menteri pertahanan

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata kelewatan projek kolam selam tempur disebabkan isu melibatkan salah satu subkontraktor lantikan yang gagal dalam melaksanakan tugas mereka.

Dia berkata beberapa aspek projek tersebut memerlukan tahap kepakaran tertentu dan ia akan mengambil sedikit masa sebelum memperoleh pengganti baru untuk mengambil alih bahagian projek berkenaan.

"Kita telah dapat jaminan daripada pihak JKR perkara ini memang diberi perhatian serius dan khusus dan diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Projeknya sebenarnya sudah mencapai 98.4 peratus lebih," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika diminta mengulas jika terdapat tempoh masa untuk projek itu, Khaled mengulangi JKR telah memberi jaminan pihaknya mempunyai sumber diperlukan dan akan mengambil tindakan terhadap kontraktor sekiranya terus berlaku kelewatan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan," titah baginda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS