Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM bincang dengan Kementerian Luar perkembangan semasa di Iran petang ini
Diterbitkan:  Apr 19, 2024 4:41 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas petang ini bagi membincangkan situasi semasa di Iran termasuk kemungkinan membawa pulang rakyat Malaysia di negara itu susulan serangan rejim Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulangi pendirian mengutuk tindakan Israel menyerang konsulat Iran di ibu negara Syria awal bulan ini sehingga mendorong tindak balas negara berkenaan, Perdana Menteri berkata perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Luar.

“Zionis Israel secara zalim menyerang konsulat Iran (di Damsyik), jadi ini melanggar semua peraturan antarabangsa, tetapi kalau kita lihat naratif dan kenyataan-kenyataan negara barat, hampir sama sekali tiada kutukan atau bantahan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya Iran telah menggunakan alasan itu untuk menyerang walaupun keadaannya sangat terkawal, dan kini Israel menggunakan naratif menyatakan ini hanya tindak balas terhadap serangan Iran.

“Pendirian kita pertama mesti mengutuk serangan terhadap kedutaan. Yang kedua kita mahu perdamaian. Yang terkesan ini rakyat bukan sahaja di Timur Tengah, di dunia Arab, di Iran, malah di seluruh dunia, kerana ini akan menyebabkan melambung harga minyak, (kos) pengangkutan yang meningkat tinggi.

“Sebab itu kita menggesa dijamin keamanan, dihentikan secara agresif keganasan Israel yang terus berlaku kerana keengganan kuasa besar barat mengambil tindakan mengawal tindakan zalim dan ganas yang dilakukan Israel,” katanya.

Israel hari ini melancarkan serangan ke atas Iran sebagai tindakan balas terhadap serangan Tehran pada hujung minggu lepas.

Tel Aviv sebelum ini memberi amaran akan menyerang semula selepas Iran melancarkan 300 dron dan peluru berpandu ke arah Israel pada hujung minggu lepas, namun kebanyakannya telah dipintas.

Serangan Tehran itu bagi membalas tindakan Israel mengebom konsulat Iran di Damsyik awal bulan ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS