Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengku Zafrul: Saya setia dengan Umno, kritik agar parti terus relevan

Ahli Majlis Kerja Tertingi Umno Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan dia masih setia bersama parti itu meskipun sebelum ini mengkritik kepimpinan Umno Selangor.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdangangan dan Industri itu menjelaskan kritikannya terhadap Umno Selangor adalah bagi memastikan parti itu bangkit dan terus relevan dalam meraih sokongan rakyat di Selangor

"Saya masih lagi setia dengan Umno. Yang saya kritik itu kontstruktif sebab ingin lihat Umno terus relevan di Selangor dan terus bekerjasma sebab kita kerajaan perpaduan, jadi kena selari dengan Persekutuan.

" (Umno) Selangor juga kena semangat kerajaan perpaduan, yang kita buat di pusat kena juga buat di Selangor," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tapak pembinaan Multi- Code Electronics Industries (M) Berhad di Serendah, hari ini.

Pada 6 April lalu,Tengku Zafrul mendakwa banyak yang "tidak ada" pada Umno Selangor menjadi punca dia melepaskan jawatannya sebagai bendahari Umno Selangor baru-baru ini.

Ketua Umno Kota Raja itu berkata, Umno Selangor mencatatkan keputusan sangat buruk dalam sejarah, bermula dengan PRU ke-15 pada 2022 diikuti dengan pilihan raya negeri (PRN) kira-kira setahun kemudian.

Dalam keadaan begitu, kata Tengku Zafrul, dia mengingatkan bahawa keputusan tersebut menjadi amaran terakhir untuk Umno Selangor berubah dan menyedari realiti.

"Sekarang ini sudah lapan bulan selepas PRN, masih tak ada apa-apa.

"Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baru tawan hati rakyat? Tak ada," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, jika pandangannya untuk mengubah segera keadaan tidak diterima, lebih wajar untuk dia melepaskan jawatan di peringkat negeri untuk memberi fokus di peringkat pusat dan pada masa sama, bahagian Kota Raja yang diketuainya.

Bagaimanapun kenyataan Tengku Zafrul disanggah Ketua Penerangan Umno Selangor Mohd Zaidi Md Zain menyifatkannya sebagai terasing dan ketinggalan maklumat berhubung gerakan politik negeri.

Justeru, Mohd Zaidi berkata Tengku Zafrul perlu berhenti membuat kenyataan yang boleh mengaibkan dirinya sendiri serta mengelirukan ramai pihak, terutama ahli Umno.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata dia akan turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Saya akan turun kempen PRK dan akan jumpa ketua bahagian negeri Selagor, akan ada mesyuarat untuk bantu calon kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS