mk-logo
Berita
MCA ikut jejak MIC tak turun kempen calon PH di KKB
Diterbitkan:  Apr 19, 2024 6:44 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

MCA tidak akan berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu akan datang sekiranya calon BN tidak diletakkan bertanding di situ.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa pembangunan politik parti di ibu pejabat parti hari ini.

“Susulan perbincangan, mesyuarat sebulat suara memutuskan jika calon bukan daripada BN, MCA tidak akan membantu sebarang kempen,” kata parti itu melalui satu kenyataan ringkas.

Kenyataan MCA ini dua hari selepas MIC - juga rakan parti komponen BN - memberi bayangan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu yang dijadual pada 11 Mei ini.

Presidennya SA Vigneswaran berkata keputusan itu dibuat selepas kerusi itu tidak ditandingi calon BN.

"Seperti saya kata sebelum ini, MIC hanya akan berkempen dalam pilihan raya melibatkan calon BN sahaja,” katanya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya dari DAP Lee Kee Hiong (gambar bawah) pada 21 Mac.

Pengundian dijadual berlangsung pada 11 Mei manakala hari penamaan calon jatuh pada 27 April dan pengundian awal pada 7 Mei.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak akan bertanding di kerusi itu dan menyerahkan kepada gabungan kerajaan perpaduan yang diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memutuskan calon itu.

DAP kini sedang meneliti senarai pendek calon berpotensi manakala pembangkang PN juga sedang menentukan calon parti itu.

Bagaimanapun, kenyataan Zahid turut mendapat teguran daripada Pemuda MCA Selangor, yang menuduh dia membuat keputusan itu tanpa merujuk parti komponen BN lain dan berhujah kerusi itu patut ditandingi oleh calon MCA.

Gambar fail, pemimpn parti gabungan kerajaan perpaduan.

MCA sebelum ini memegang kerusi Kuala Kubu Baharu sehingga pilihan raya umum 2013, apabila Lee memenangi kerusi itu untuk DAP dan berjaya mempertahankannya dalam dua pilihan raya berikutnya.

Lihat Komen
ADS