Meskipun parti-parti yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei ini belum menamakan calon masing-masing, namun DAP Selangor menjangkakan pertandingan merebut kerusi itu akan sengit.
Bagi bendahari DAP Selangor, Ong Kian Ming, sekalipun jika partinya menang, majoriti Pakatan Harapan (PH) akan kurang daripada 1,000 undi. Ini, berbanding dengan majoriti 4,119 yang mereka menang pada pilihan raya negeri 2023.

“Persekitaran politik tidak memihak kepada PH pada masa ini tetapi dengan strategi kempen dan mesej yang diselaraskan dengan baik, DAP mungkin hanya (akan) lulus ujian ini dengan margin yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Ong, terdapat beberapa sebab mengapa DAP berdepan dengan pelbagai cabaran pada pilihan raya kecil kali ini.
“Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa ramai penyokong DAP dan PH telah kecewa dengan prestasi kerajaan perpaduan yang begitu perlahan melaksanakan reformasi institusi, dalam naratif ekonomi yang lemah (walaupun angka FDI dan pertumbuhan ekonomi terus sihat) terutama berkaitan dengan kenaikan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan.
“(Ini termasuk) pergaduhan terbuka di antara beberapa pemimpin PH dan BN, terutamanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini berhubung isu stoking KK Mart yang tertera kalimah Allah.
“Walaupun dalam podcast, saya telah mengatakan bahawa DAP tidak berada dalam bahaya untuk menjadi MCA 2.0 dalam masa terdekat, (namun) sentimen umum di kalangan pengundi bukan Melayu nampaknya bergerak ke arah ini,” katanya.

Ong berkata, faktor-faktor itu bermakna peratusan keluar mengundi di kalangan pengundi bukan Melayu berkemungkinan berkurangan dengan ketara pada pilihan raya kecil ini terutamanya memandangkan keputusan PRK itu tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri Selangor.
DUN Kuala Kubu Bharu, merangkumi 46 peratus pengundi Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lima peratus pengundi lain, termasuk Orang Asli.
Pada pilihan raya negeri 2023, mendiang Lee Kee Hiong daripada DAP berjaya mempertahankan kerusi itu dengan mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan - Perikatan Nasional)), Siva Prakash Ramasamy (Muda), dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 4,119 undi.
Kerusi itu kosong selepas Lee meninggal dunia pada 21 Mac dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu akan berlangsung pada 11 Mei, manakala hari penamaan calon pada 27 April.
Mengulas lanjut, Ong berkata, pengundi bukan Melayu kini sedang begerak ke satu arah yang boleh membawa padah kepada DAP dalam suatu jangka masa nanti.



“Faktor-faktor ini bermakna peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi bukan Melayu berkemungkinan akan berkurangan dengan ketara dalam PRK ini terutamanya memandangkan keputusan nanti tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri Selangor.
“Terdapat juga kemungkinan beberapa kempen untuk meminta pengundi India ‘memboikot’ PRK ini mendapat tarikan.
“Sesetengah pengundi bukan Melayu juga berkemungkinan mengundi mereka calon Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda protes kepada DAP dan kerajaan perpaduan.
“Bagaimanapun, jumlah tersebut mungkin kecil,” katanya.
