Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rogol amah: Paul Yong fail rayuan di Mahkamah Persekutuan

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan bersalah beliau kerana merogol pembantu rumahnya lima tahun lepas.

Peguam Datuk Rajpal Singh, yang mewakili Yong, berkata notis rayuan difailkan pada 5 Mac lepas.

“Mahkamah belum lagi menetapkan tarikh pengurusan kes bagi rayuan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 1 Mac lepas, panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan bersalah terhadap Yong.

Turut bersidang Datuk Azman Abdullah, yang bersetuju dengan Hadhariah, dan Datuk S.M. Komathy Suppiah, yang menentang keputusan itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Yong bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS