Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baki kad tak cukup, pemandu 'seranah' jurutol sebab tak lepas palang
Diterbitkan:  Apr 24, 2024 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Berang tidak dapat melepasi palang tol kerana tidak mempunyai baki mencukupi pada kad Touch 'n Go (TnG) dipercayai punca seorang warga emas menghamburkan kata-kata kurang sopan dan mengugut jurutol seperti yang tular dalam video menerusi platform X baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kejadian dipercayai berlaku selepas kereta dipandu suspek mahu melepasi Plaza Tol Segambut di Lebuhraya Duta – Ulu Klang (DUKE) pada 11.15 malam Ahad lepas.

"Suspek difahamkan marah selepas diberitahu pembayaran hanya boleh dibuat menggunakan kad TnG atau kad debit, selain turut berkeras mahu menggunakan wang tunai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

Rusdi berkata mangsa yang berusia 20 tahun telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan polis juga telah mengenal pasti seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun dipercayai pemilik kenderaan terlibat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100, jika sabit kesalahan.

Beberapa hari lepas, tular di platform X rakaman video dan gambar kereta yang dimuat naik seorang lelaki dipercayai ahli keluarga jurutol terlibat, yang tidak berpuas hati dengan kejadian terbabit.

Jurutol itu difahamkan akhirnya menerima wang tunai daripada pemandu kereta terlibat, memandangkan kereta itu telah terlalu lama berhenti di lorong tol.

Hantaran menerusi platform X itu turut mendapat reaksi polis dalam ruangan komen, yang meminta mangsa membuat laporan di balai berhampiran supaya tindakan dapat diambil.

- Bernama

Lihat Komen
ADS