Pilihanraya umum awal tahun depan
Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) telah diarahkan supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum awal tahun depan.
Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) telah diarahkan supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum awal tahun depan.
Menurut sumber-sumber yang mengetahui, ketua parti-parti komponen BN dimaklumkan mengenai perkara itu dalam mesyuarat majlis tertinggi BN di ibunegara semalam.
Mesyuarat selama kira-kira tiga jam itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kementerian Pertahanan. Najib adalah juga Menteri Pertahanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang bercuti sehingga Jumaat ini.
Sumber-sumber itu memberitahu malaysiakini, semua ketua parti komponen BN yang hadir telah ditanya mengenai persediaan parti masing-masing untuk menghadapi pilihanraya umum.
Tempoh pentadbiran kerajaan BN sekarang adalah sehingga akhir April 2009. Bagaimanapun, spekulasi bertiup kencang bahawa ia akan diadakan lebih awal.
Dalam mesyuarat tersebut, Najib mengarahkan mereka supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum awal tahun depan.
Bertukar kerusi
Beberapa pemimpin BN dari Semenanjung Malaysia dikatakan memberitahu Najib bahawa mereka kini dalam proses perbincangan mengenai kerusi yang akan ditandingi.
Parti komponen BN seperti MIC dan Umno dipercayai sedang mengadakan perbincangan untuk bertukar beberapa kerusi Parlimen antara mereka.
MIC juga dipercayai meminta kerusi negeri tambahan dan tiada sebarang keputusan dibuat oleh Majlis Tertinggi BN.
Sebahagian besar parti komponen BN telah memberitahu Najib bahawa mereka sudah hampir bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya.
Mereka juga diberitahu bahawa satu konvensyen BN akan diadakan sebelum pilihanraya umum akan datang, untuk memperlihatkan kekuatan dan perpaduan parti-parti komponen BN.
Menurut sumber-sumber tersebut, konvensyen itu dijangka diadakan hujung tahun ini.
Selain itu, BN juga akan memainkan peranan penting dalam sambutan 50 tahun kemerdekaan. BN akan mengadakan sambutan besar-besaran di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos yang akan dihadiri oleh semua menteri kabinet dan pemimpin BN.
Manakala sektor swasta telahpun diberitahu supaya jangan mengadakan sebarang acara lain sepanjang tempoh sambutan ulangtahun 50 tahun kemerdekaan itu diadakan.
Isu negara Islam
Mesyuarat semalam juga turut menyentuh mengenai perdebatan mengenai isu negara Islam. Difahamkan, Najib telah meminta pandangan dan pendirian pemimpin BN yang hadir mengenai isu tersebut.
Menurut sumber-sumber, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyuarakan bantahannya terhadap anggapan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Ini merupakan kali pertama Dr Koh menghadari mesyuarat tertinggi BN selepas mengambil alih jawatan presiden Gerakan dari Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, yang melepaskan jawatan itu pada 8 April lalu.
Sumber-sumber itu berkata, Najib kemudian memberitahu mereka bahawa tidak perlu ada perbahasan lagi mengenai sama ada Malaysia negara Islam atau negara sekular.
Najib mencetuskan kontroversi tersebut minggu lalu apabila beliau menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Kenyataan Najib itu dibantah oleh banyak pihak termasuk MCA yang menegaskan bahawa semua dokumen sejarah berhubung pembentukan perlembagaan persekutuan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan berkata, kenyataan Najib itu tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan. Berita asal

