Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Heitech Padu sasar pertumbuhan pendapatan lebih kukuh

HeiTech Padu Bhd menyasar pertumbuhan pendapatan lebih kukuh selepas kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023, di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit.

Melangkah ke hadapan, syarikat itu berkata pihaknya merancang untuk menjadi penyedia perkhidmatan teknologi digital sepenuhnya, memanfaatkan teknologi baru muncul, meluaskan keupayaan operasi, mengembangkan pelanggan, mempelbagaikan perniagaan, dan menambah baik lagi kedudukan kewangannya.

Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Salmi Nadia Mohd Hilmey berkata kejayaan syarikat baru-baru ini menunjukkan komitmennya untuk menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggan, seterusnya menyasarkan pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh.

“HeiTech berkembang daripada sebagai penyepadu sistem dan penyedia infrastruktur terurus kepada penyedia produk digital dan baru muncul.

“HeiTech telah memperluaskan penawaran dan tumpuan pasaran melalui penciptaan produk dan penawaran dalaman yang sesuai dengan asas transaksi dan pasaran massa yang merangkumi sistem tempat letak kereta pintar, e-kenali pelanggan anda (e-KYC), gerbang pembayaran serta aplikasi pintar untuk majlis tempatan, koperasi, penyelesaian pengurusan sekolah dan portal pengajaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

HeiTech mencatat keuntungan sebanyak RM7.2 juta bagi tahun kewangan 2023 berbanding kerugian RM10 juta pada 2022.

Pendapatan sebelum faedah, rosot nilai, cukai dan pelunasannya (EBITDA) bagi tahun kewangan 2023 berjumlah RM28.2 juta.

- Bernama

Lihat Komen
ADS