Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rumah terbuka raya Selangor di KKB langgar akta, kata Bersih
Diterbitkan:  Apr 26, 2024 9:53 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

PRK KKB | Penganjuran rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Selangor esok, kata Bersih, boleh dianggap bercanggah dengan pelbagai peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

Dalam kenyataan hari ini, pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya itu berkata, pemilihan lokasi untuk acara tersebut - di Kuala Kubu Bharu - layak dipersoalkan.

Hal itu kerana, tambah Bersih, dilangsungan sejurus selepas proses penamaan calon untuk pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

"Bersih ingin mengingatkan kerajaan Selangor bahawa penganjuran rumah terbuka Aidilfitri boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam AKPR.

"Berdasarkan risalah program yang kami terima, pelbagai aktiviti sambutan akan diadakan seperti jamuan makan dan pemberian duit raya.

"Pemberian atau jamuan makanan semasa tempoh pilihan raya adalah kesalahan mengikut seksyen 8, manakala pemberian duit raya merupakan kesalahan Seksyen 10 AKPR," katanya.

Tambah Bersih Selangor sepatutnya sedar penganjuran tersebut menggunakan pelbagai sumber kerajaan negeri.

Justeru, katanya, kerajaan Selangor mesti memastikan program berkenaan tidak digunakan sebagai wadah memperkenalkan calon parti kerajaan atau berkempen termasuk dengan memasang bendera dan kaedah-kaedah kempen lain bagi memenangkan calon mereka.

DUN Kuala Kubu Bharu akan mengadakan pilihan raya kecil ekoran kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian dilangsungkan pada 11 Mei akan datang.

Setakat ini PH-BN dan PN sudah mengumumkan calon masing-masing. Jumlah sebenar calon yang terlibat hanya akan diketahui pagi esok selepas SPR memuktamadkan semua proses.

Kata Bersih penggunaan sumber kerajaan - sama ada negeri atau pusat - mesti mematuhi prinsip 3C yang ditetapkan bagi memastikan ia disalah guna.

Prinsip 3C tersebut, kata Bersih, ialah no conditions (tanpa syarat), no campaign (tanpa kempen) dan no candidate (tiada calon).

"Bersih ingin mengingatkan parti-parti politik atau mana-mana calon yang bertanding dalam pilihan raya ini dan bercadang menganjurkan majlis rumah terbuka supaya tidak berbuat demikian kerana ia bercanggah dengan AKPR.

"Sekali lagi Bersih menegaskan kepada semua pihak terutamanya kerajaan Selangor dan Pusat agar mematuhi etika kempen supaya proses pilihan raya di negara ini dapat berjalan dengan bersih dan adil," katanya.

Lihat Komen
ADS