Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Genting Malaysia nafi bincang bina kasino di Forest City
Diterbitkan:  Apr 27, 2024 10:00 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Genting Malaysia Berhad menafikan laporan media mendakwa syarikat itu terlibat dalam perbincangan mengenai projek kasino di Forest City, Johor.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata laporan tersebut yang memetik sumber asal daripada Bloomberg mengandungi dakwaan yang melibatkan Genting Malaysia serta Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Kok Thay.

"Syarikat dan Tan Sri Lim tidak terlibat dalam sebarang perbincangan atau mesyuarat sedemikian dan dakwaan yang dibuat adalah tidak benar," kata sayarikat itu dalam kenyataan berkenaan.

"Kami meminta agar semua pihak segera menghentikan penerbitan dan penyebaran maklumat yang salah, memadam dakwaan yang tidak benar dan memberi penjelasan kepada orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan yang berlanjutan.

"Genting Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya perlu bagi melindungi kepentingannya dan pemegang taruh," kata syarikat itu.

Kenyataan syarikat itu hadir selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan laporan media berhubung dakwaan tersebut.

Anwar juga berkata laporan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Bloomberg pada asalnya melaporkan bahawa Malaysia sedang berbincang dengan ahli perniagaan untuk membuka kasino di Forest City - projek bernilai AS$100 bilion (RM480 ​​bilion) di Johor yang hampir menjadi projek gajah putih.

Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut Anwar telah berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Kumpulan Genting dalam mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.

Sejak itu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, telah mengesahkan bahawa tiada kasino yang akan dibenarkan dibuka atau beroperasi di negeri tersebut, manakala Berjaya Corporation Berhad juga turut menafikan keterlibatan Tan dalam perbincangan yang dikatakan itu.

Lihat Komen
ADS