Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki dakwa penyokong tegar Anwar, muncul di kempen PN
Diterbitkan:  Apr 29, 2024 7:16 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

PRK KKB | Ketika memulakan kempennya pada Jumaat lalu, calon PH Png Sock Tou dan pasukan kempennya didekati oleh seorang lelaki yang menyuarakan rasa kecewa tentang isu seperti kos sara hidup.

Walaupun lelaki itu pada mulanya mendakwa dirinya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, satu video yang tersebar di media sosial malam tadi menunjukkan dia muncul di program kempen PN.

Menurut video yang dimuat naik di akaun media sosial @AmenoWorld, lelaki itu memegang bendera PN sambil memberikan ucapan. Ketika itu, dia turut dikelilingi pasukan kempen PN.

Dalam video itu, dia antara lain mengkritik Anwar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

"Bukan PAS yang beri saya duit (untuk) bercakap, bukan juga PN. Saya sendiri yang (ingin) bercakap. Saya sudah tengok satu Malaysia, rakyat Cina, Melayu dan India susah," katanya.

Malah dia turut memimpin para penyokong PN untuk melaungkan takbir.

Video tersebut turut menunjukkan dia bertemu dengan Pengerusi PN Selangor Azmin Ali.

Selepas penamaan calon, Pang memperkenalkan dirinya kepada para pengundi Kuala Kubu Bharu dan kebanyakannya memberi layanan mesra, kecuali lelaki itu yang menyuarakan kritikan terhadap DAP dan membangkitkan soal kos sara hidup.

Dia mendakwa dirinya sebagai penyokong tegar Anwar dan tidak memberikan nama penuhnya, sebaliknya hanya ingin dikenali sebagai Lim - nama keluarganya.

Dia malah turut merampas mikrofon kru kamera 8TV untuk bercakap.

"Sekarang, makanan mi wantan macam ini pun sudah RM8.50, kopi ini RM2.50, satu hari untung RM30 boleh makan? (Bagaimana) boleh hidup?" Katanya.

Dia juga berkata selepas mendiang Lee Kee Hiong mempertahankan kemenangannya dalam pilihan raya tahun lalu, dia tidak pernah kelihatan di Kuala Kubu Bharu.

Hanya ahli majlis Majlis Perbandaran Hulu Selangor Jessie Yong Chan Hee yang berhenti untuk mendengar rungutan Lim, manakala Pang dan pasukan kempennya bergerak untuk berjumpa penduduk lain.

Lihat Komen
ADS