Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan bina kasino: Kabinet akan bincang tindakan lanjut

Kerajaan akan membincang secara teliti berhubung laporan Bloomberg yang mendakwa Berjaya Corp Bhd (BCorp) sedang mengadakan perbincangan untuk menubuhkan sebuah resort kasino di Forest City di Johor bernilai AS$100 bilion (RM477.60 bilion).

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata tindakan selanjutnya terhadap laporan itu akan dibincang dalam mesyuarat kabinet esok.

"Mengenai isu Bloomberg, saya belum dapatkan maklumat terperinci.

"Kita ada jemaah menteri esok. Mungkin ada maklumat selepas itu. Tapi, setakat ini tiada terbaru.

"Tapi, saya difahamkan ada beberapa laporan polis telah dibuat dan saya belum lihat laporan itu. Mungkin saya kena tunggu laporan jemaah menteri itu," katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Bharu.

Terdahulu, Fahmi yang juga menteri komunikasi ditanya mengenai status terbaru isu laporan berita itu.

Berjaya Corp Bhd (BCorp), telah membuat laporan polis pada 26 April lalu dalam usaha untuk menjejaki "sumber tidak dinamakan" yang dipetik dalam laporan itu.

BCorp sejak itu menafikan dakwaan bahawa rancangan sedemikian sedang dalam perbincangan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata sumber tersebut telah mencemarkan nama baik mereka dengan menyebarkan maklumat palsu dan ia percaya polis akan mengambil langkah perlu untuk menyiasat perkara itu.

Menurut syarikat itu, mereka percaya penerbitan berniat jahat itu mahu menyebabkan gangguan politik, menjejaskan kepercayaan orang ramai dan memesongkan persepsi orang ramai terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Syarikat itu juga menggesa Bloomberg dan The Edge Singapura, yang memetik berita berkenaan, supaya membuang sebarang "maklumat tidak tepat" yang menyalahgambarkan pertemuan mereka dengan Anwar mengenai pemulihan projek mega berbilion ringgit di Johor tersebut.

Perdana menteri juga menegaskan penubuhan kasino bukan sebahagian daripada pemulihan projek itu dan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu terhadap agensi berita itu.

Selain BCorp, Genting Malaysia Berhad juga menafikan laporan media mendakwa syarikat itu terlibat dalam perbincangan mengenai projek kasino berkenaan.

Lihat Komen
ADS