Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki meninggal dunia ketika berbasikal
Diterbitkan:  Apr 30, 2024 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai akibat masalah jantung ketika berbasikal di Gua Musang, Kelantan semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo, berkata lelaki berumur 48 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan semak di tepi Jalan Kampung Lembaga kira-kira 2.30 petang.

“Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah ke atas mangsa dan dia dibawa ke Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat,” katanya hari ini.

Menurut Sik, lelaki terbabit dikatakan keluar dari rumah besendirian untuk mengayuh basikal sebagai kegiatan riadah kira-kira jam 8 pagi namun tidak pulang ke rumah pada waktu sepatutnya.

Isteri lelaki terbabit, kata Sik, kemudian cuba menghubungi melalui panggilan telefon dan meminta rakan-rakan si mati bagi membantu mengesannya.

Sik menambah, wanita terbabit kemudian dimaklumkan bahawa lelaki berkenaan ditemui namun disyaki sudah meninggal dunia.

Katanya hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira jam 6.30 petang mendapati lelaki itu meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis mengingatkan supaya tiada spekulasi dibuat oleh mana-mana pihak bagi menghormati keluarga mereka," katanya.

Sementara itu menurut laporan Kosmo! Online, lelaki berkenaan dikenali sebagai Wan Yusuf Wan Jaafar dan merupakan pesara tentera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS