Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli tidak akan menjejaskan kempen PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, kata Azmin Ali.

Sebaliknya pengerusi PN Selangor itu berkata pihaknya akan meneruskan kempen dan memberi penjelasan kepada pengundi mengenai pelbagai isu.

"Sebagai contoh, isu kelayakan pendidikan calon PN Khairul Azhari Saut yang dibangkitkan oleh PH.

"Kita tahu ini semua fitnah PH untuk mengalihkan pandangan kepada isu sebenar dan terbukti apabila universiti (UMPSA) sendiri keluarkan kenyataan mengesahkan sijil kelayakan pendidikan Khairul.

"Itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada PH supaya tak bawa fitnah di kempen PRK kerana rakyat sudah penat dengan pemain-pemain politik," katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Adun Hulu Kelang itu berkata demikian ketika ditanya apakah siasatan terhadap MB Perlis akan memberi kesan kempen pada PRK ini.

Terdahulu, SPRM mengesahkan Mohd Shukri ditahan suruhanjaya antirasuah itu dan memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selama beberapa jam.

Mohd Shukri dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung beberapa dakwaan membabitkan anaknya, yang ditahan dan direman minggu lepas.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menteri besar Perlis itu dibebaskan dengan jaminan selepas SPRM berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.

Nafi PAS boikot

Sementara itu, Azmin menafikan dakwaan pemimpin PAS memboikot PRK berkenaan.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan pada ceramah umum semalam, Azmin berkata dia tidak pasti.

"Saya tak pasti. Biasanya kita senaraikan pemimpin-pemimpin yang bersedia untuk datang.

"Sekiranya tak dapat mungkin ada sebab,” katanya.

Azmin berkata ramai pemimpin PAS tidak berada di Kuala Kubu Bharu kerana pada hari penamaan calon, parti itu mengadakan majlis rumah terbuka di Perlis.

"Sekarang, selepas penamaan calon kebanyakan pemimpin PAS sudah berada di sini.

"Esok (hari ini), MB Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) akan ada di sini. Selepas itu, kita ada timbalan presiden PAS Tuan Man Tuan Ibrahim," katanya.

Sebelum ini, PN mengeluarkan poster dengan nama Takiyuddin antara pemimpin yang akan hadir ke ceramah umum di Kuala Kubu Bharu malam tadi.

Keberadaan pemimpin PAS yang lebih ramai di Perlis berbanding Kuala Kubu Bharu turut dibangkitkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

https://mk.my/wa_mkinibm


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS