Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kongres Bersih 25 Mei bagi gesa kerajaan percepat reformasi institusi

Badan pemantau pilihan raya Bersih sedang menghimpunkan NGO, kumpulan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain untuk mendesak Putrajaya supaya mempercepatkan reformasi institusi.

Sambil berkata kerajaan "lembab" dalam melaksanakan reformasi, Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz memberitahu sidang media hari ini bahawa ia menganjurkan kongres khas pada 25 Mei untuk mewujudkan rangka kerja bagi demokrasi Malaysia menuju pilihan raya umum akan datang.

“Ini adalah kongres rakyat untuk menuntut kerajaan melaksanakan reformasi, walaupun selepas 17 bulan memerintah, belum ada reformasi institusi yang jelas berlaku di negara ini.

“Menjadi kerajaan perpaduan tidak seharusnya dijadikan alasan.

“Kami mahu mendesak kerajaan supaya berhenti berlengah dalam melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan,” katanya.

Dalam sidang media itu, Bersih menyenaraikan beberapa contoh janji reformasi yang tidak ditunaikan, termasuk memisahkan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya, dan melibatkan Parlimen dalam melantik pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Menurut Faisal, kongres yang akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) itu turut melibatkan badan pemikir dan aktivis tempatan yang akan berkongsi pandangan.

Antara yang dijangka menyertai acara itu ialah bekas Speaker Dewan Rakyat Ariff Md Yusof, bekas pengerusi Bersih S Ambiga, dan ketua pegawai operasi kumpulan pemikir Ideas Sri Murniati Yusuf.

“Kongres ini akan membincangkan agenda reformasi penting yang tertunggak.

“Ketetapan daripada kongres ini akan digunakan sebagai garis panduan pelaksanaan reformasi sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS