Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK KKB | Meskipun sesetengah pihak melabel calon PN sebagai 'underdog' di Kuala Kubu Bharu namun Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia akan memberi kelebihan kepada gabungan itu.

Lebih susah mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya kecil daripada merampasnya, jelasnya.

"Ada kelebihan bila turun sebagai underdog. Sama juga seperti dalam perlawanan bola, pemenang atau juara nak mempertahankan itu lebih sukar daripada merampas.

"Kami sedar kita underdog tapi, dengan data-data yang ada dan kita susun strategik supaya kita mengenal pasti kelemahan kita daripada pemilihan sebelum ini.

"Momentum yang saya dapat hari ini daripada bilik gerakan dan pasukan kajian saya sendiri, kita mendapati kita boleh menang kalau kita boleh menyelesaikan isu-isu menghantui rakyat dan peratusan mengundi mesti agak tinggi terutama pengundi Melayu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perikatan Nasional bersama Masyarakat India di Liga Mas, Batang Kali, malam tadi.

Samsuri berkata demikian ketika disoal pemberita apakah kelebihan calon PN Khairul Azhari Saut yang dilihat sesetengah pihak sebagai calon 'underdog' dalam PRK ini.

Sementara itu, Samsuri berkata pengalaman PAS menguruskan pengundi luar balik ketika pilihan raya Kelantan dan Terengganu akan membantu dalam gerak kerja PRK ini.

"Masalah pengundi luar ini peratusan pengundi luar ini bukan tinggi berbanding kami di Kelantan dan Terengganu.

"Kita ada pengalaman bagaimana berurusan dengan pengundi luar ini dan kemahiran itu kita gunakan itu mengajak pengundi luar.

"Lagi mereka bukan berada jauh, di sekitar Kuala Lumpur sahaja," katanya.

Khairul dicabar oleh calon PH Pang Sock Tao, Hanizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Kuala Kubu Bharu merupakan kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu sebanyak 46 peratus, Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS