Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH tak pernah arah, izin berkempen guna gambar Agong
Diterbitkan:  May 6, 2024 12:39 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

PRK KKB | Pengarah Kempen PH Ng Sze Han menegaskan pihaknya sama sekali tidak pernah mengarahkan atau membenarkan sesiapa menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen mereka.

Merujuk kepada laporan media mengenai sekumpulan individu yang berkempen menggunakan gambar Sultan Ibrahim, Ng berkata, kejadian itu menunjukkan mereka membawa bendera PH.

"Sebagai pengarah kempen, saya ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah mengarahkan atau membenarkan tindakan sebegitu oleh mana-mana petugas," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikesan membawa potret Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bendera PH digunakan untuk berkempen di Kuala Kubu Bharu.

Susulan itu polis menahan dua individu disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan dan dilaporkan akan didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kedua-dua individu yang berusia 66 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat.

"Pertuduhan terhadap dua individu dibuat selepas kertas siasatan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya semalam," katanya.

Ng berkata, tindakan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan tidak harus berlaku.

"Kami mengambil maklum tentang siasatan yang dijalankan ole pihak polis mengenai perkara ini dan kami bersedia memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS