Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 wakil rakyat kempen untuk PH bukan lagi ahli Bersatu
Diterbitkan:  May 9, 2024 11:15 AM
Dikemaskini: 8:50 AM

Keahlian Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari dalam Bersatu terlucut berkuat kuasa serta merta kerana menghadiri kempen Pakatan Harapan (PH) di Kuala Kubu Bharu malam tadi.

Setiausaha Agung parti itu Hamzah Zainudin mendakwa kedua-dua mereka mesti mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan di kawasan yang dimenangi mereka.

“Mereka bercakap di pentas PH semasa kempen di KKB. Mengikut perlembagaan kita (Bersatu), keahlian mereka dilucutkan secara automatik.

"Mereka tidak lagi menjadi ahli parti, jadi mengikut undang-undang (antilompat parti), mereka juga mesti melepaskan kerusi mereka," katanya seperti dilapor Free Malaysia Today (FMT).

Hamzah memberitahu pemberita selepas ceramah Perikatan Nasional (PN) di Bandar Utama Batang Kali semalam.

Menurut Hamzah, surat pelucutan keahlian kedua-dua mereka akan dikeluarkan selepas mesyuarat majlis tertinggi Bersatu minggu depan.

Zulkapferi adalah antara enam Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini berikrar menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, demi kesejahteraan pengundi mereka.

Lima lagi yang mengsiytiharkan sokongan kepada Anwar ialah, ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Manakala Abdul Rashid pula menyokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam dewan undangan negeri.

FMT melaporkan semasa ceramah itu, Zulkapferi menggesa pengundi menyokong calon PH Pang Sock Tao pada pilihan raya kecil 11 Mei, kerana mereka harus "belajar" daripada pengalamannya.

Dia dilaporkan memberitahu orang ramai bahawa gaji bulanannya yang diperolehinya boleh habis "dalam masa seminggu" untuk menyumbang kepada majlis dianjurkan pengundi di Tanjong Karang serta membayar gaji kakitangannya.

Katanya, kekurangan dana daripada kerajaan juga menyebabkan beliau tidak dapat menganjurkan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Rashid pula dilihat menyokong kempen PH di KKB sejak seminggu lalu, dan juga dijangka menyertai ceramah parti kerajaan itu malam ini, menurut FMT.

Hamzah juga memberitahu pemberita bahawa Bersatu telah "mencapai keputusan" berhubung nasib Suhaili dalam parti, tetapi perkara itu perlu disahkan pada mesyuarat majlis tertinggi akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS