Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan semakan Daim, isteri cabar siasatan SPRM ditolak

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan keluarganya gagal dalam rayuan untuk mendapatkan kebenaran meneruskan semakan kehakiman terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Azizah Nawawi sebulat suara menolak rayuan itu petang ini. Dua lagi hakim yang mendengar permohonan itu ialah Hashim Hamzah dan Azizul Azmi Adnan.

Bercakap bagi pihak ketiga-tiga hakim terbabit, Azizah berkata mereka memutuskan siasatan agensi antirasuah itu itu tidak terbuka kepada semakan kehakiman kerana ia akan mendedahkan proses seumpama itu kepada pelbagai tindakan undang-undang.

Pada 4 Mac lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Daim dan keluarganya untuk mendapatkan kebenaran meneruskan semakan kehakiman kes berkenaan.

Antara yang menjadi tumpuan ialah pembatalan pertuduhan jenayah ke atas Daim dan isterinya, Na'imah Abdul Khalid, berhubung pendedahan aset mereka.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan pemohon gagal menunjukkan terdapat mala fide (niat buruk) dalam siasatan SPRM terhadap mereka.

Dia juga berpendapat syak wasangka wujud mala fide sahaja tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan kebenaran berkenaan.

Hakim berkata Daim, 85, dan Na'imah, 66, hanya perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk mencabar pertuduhan berkenaan.

Menurut hakim itu lagi dakwaan pasangan terbabit bahawa siasatan ke atas mereka bermotifkan politik sepatutnya dibangkitkan di mahkamah jenayah dan bukannya mahkamah sivil.

Hakim juga tidak bersetuju dengan dakwaan pemohon bahawa siasatan SPRM terhadap mereka adalah mala fide kerana kesalahan yang didakwa disiasat adalah untuk "kesalahan lapuk" ekoran berlaku lebih 20 tahun lalu.

Kata Wan Ahmad Farid kes jenayah tidak mempunyai had berkanun untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

Bekas peguam negara Tommy Thomas mengetuai pasukan mewakili Daim dan keluarganya manakala peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin bertindak bagi pihak SPRM.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS