Pendakwaan dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya Shaariibuu gagal buat kali ketiga untuk mengemukakan kenyataan yang dibuat Koperal Sirul Azhar Umar kepada polis berhubung jenayah berkenaan sebagai bukti dalam kes berprofil tinggi itu.

Kali ini, Mahkamah Tinggi menolak kenyataan Sirul Azhar yang dibuat kepada pasukan polis semasa dia dibawa ke lokasi jenayah di Puncak Alam pada 6 November tahun lalu, yang mendedahkan dan menunjukkan lokasi di mana wanita Mongolia itu diletupkan, demikian menurut laporan Bernama.

Saksi pendakwaan ke-23, ASP Zulkarnain Samsudin memberitahu mahkamah minggu lalu bahawa Sirul Azhar telah pergi ke lokasi jenayah di Puncak

Alam dengan satu rombongan polis dan menyebut perkataan: "Saya boleh tunjuk tempat perempuan itu diletupkan."

Peguam Kamarul Hisham Kamarudin, yang mewakili Sirul Azhar, membantah kebolehterimaan kenyataan itu tetapi Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid

Tun Hamzah berkata keterangan itu boleh diterima mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan kerana ia hanya menunjukkan perilaku Sirul Azhar.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin hari ini memutuskan bahawa kenyataan Sirul Azhar itu tidak boleh diterima kerana ia bukan satu perilaku mengikut

Seksyen 8.

Zulkarnain memberitahu mahkamah bahawa Sirul Azhar telah pergi dengan rombongan anggota polis ke tempat kejadian di Puncak Alam dan menyebut

perkataan-perkataan itu.

Kali ketiga

Ini adalah kali ketiga mahkamah menolak kenyataan yang dibuat oleh Sirul Azhar.

Pada 26 Julai, Hakim Mohd Zaki mengeluarkan keterangan yang diberi oleh saksi pendakwaan, Cif Inspektor Kamaroszaman Othman, yang memberi keterangan bahawa semasa disoal siasat, Sirul Azhar telah mendedahkan kepada beliau lokasi tempat kejadian.

Pada 10 Julai, mahkamah memutuskan bahawa pengakuan Sirul Azhar kepada seorang pegawai atasannya, ACP Mastor Mohd Ariff mengenai pembabitannya

dalam pembunuhan wanita Mongolia itu semasa dalam penerbangan pulang dari Bangkok ke Kuala Lumpur tidak dibuat secara sukarela.

Dalam keputusannya pada akhir prosiding perbicaraan dalam perbicaraan, Hakim Mohd Zaki memutuskan bahawa pengakuan Sirul Azhar itu tidak boleh

diterima sebagai keterangan dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Selangor antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, seorang penganalisis politik, didakwa bersubahat melakukan pembunuhan itu.