Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis panggil Azmin bantu siasatan kes dedah maklumat PKNS
Diterbitkan:  May 21, 2024 10:14 PM
Dikemaskini: 2:14 PM

Polis Selangor mengesahkan telah memanggil Adun Hulu Kelang Mohamed Azmin Ali untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata rakaman keterangan itu diperlukan bagi membantu siasatan kes berkaitan pendedahan maklumat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

Hussein berkata siasatan itu dimulakan ekoran satu laporan polis oleh seorang pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 14 Mac yang mendakwa dokumen sulit perbadanan terbabit dibocorkan.

“Pegawai itu mendakwa beberapa maklumat yang tidak tepat didedahkan kepada umum yang dikhuatiri boleh menjejaskan imej serta nama baik PKNS.

“Kehadiran Mohamed Azmin adalah bagi membantu siasatan kebocoran dokumen tersebut, bukannya mengenai perkara dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 28 Feb lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata setakat ini 15 saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, Hussein menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat sehingga selesai siasatan polis.

Terdahulu, media melaporkan Azmin yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor mendakwa menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah, berikutan tindakannya membangkitkan isu rakyat serta pentadbiran kerajaan Selangor ketika persidangan negeri itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS