Umno Ktan harap krisis dalaman tidak berulang
Umno Kelantan mengharapkan krisis dalaman yang membabitkan Umno seperti yang berlaku sebelum ini tidak berulang bagi membolehkan parti itu merampas semula kerajaan negeri dari PAS dalam pilihanraya umum akan datang.
Umno Kelantan mengharapkan krisis dalaman yang membabitkan Umno seperti yang berlaku sebelum ini tidak berulang bagi membolehkan parti itu merampas semula kerajaan negeri dari PAS dalam pilihanraya umum akan datang.
Beberapa pemimpin Umno Kelantan yang dihubungi baru-baru ini berkata, struktur jentera parti itu dari perhubungan negeri hingga ke peringkat cawangan sangat kuat berbanding dalam pilihanraya umum lalu.
Dalam pilihanraya umum 1990, umno berpecah dua setelah Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden Umno.
Tengku Razaleigh yang kalah dalam pertandingan itu bersama pengikutnya telah menubuhkan Parti Semangat 46 dan bekerjasama dengan PAS, melalui Angkatan Perpaduan Ummah, untuk menawan Kelantan.
Pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno pada 1998 menyebabkan pengikutnya menubuhkan Parti Keadilan Nasional (PKN) dan akibatnya Umno kalah teruk di Kelantan dalam pilihanraya umum 1999.
Ketua Umno bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata, dengan jangkaan krisis sedemikian rupa tidak berlaku lagi, Umno Kelantan kini berada di atas landasan yang betul kerana secara sedikit demi sedikit rakyat negeri itu sudah boleh menerima hasrat Umno untuk memerintah selepas pilihanraya umum akan datang.
Elak kepentingan peribadi
Katanya, pengalaman sejak Umno kalah 17 tahun lalu menjadikan para pemimpin parti itu semakin matang berpolitik dan politik untuk kepentingan peribadi telah tidak berlaku lagi seperti sebelum ini.
"Sebelum ini, kerana masalah kepentingan peribadi kawasan yang sepatutnya dimenangi oleh calon Umno telah jatuh ke tangan PAS kerana ada pemimpin Umno yang menghasut penyokongnya mengundi calon parti lawan.
"Sekarang masalah tersebut tidak berlaku lagi, sebaliknya mereka berikrar berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan pengerusi Umno negeri Datuk Seri Annuar Musa untuk menjatuhkan PAS dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.
Umno mempunyai 22 dari 45 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, dan memenangi sembilan daripada 15 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum lalu.
Sementara itu, Naib Ketua Umno bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa berkata, pengundi Kelantan yang tinggal di luar negeri itu, boleh menjadi faktor penentu kepada kemenangan Umno atau PAS dalam pilihanraya.
Beliau berkata, ini dapat dibuktikan daripada kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Hanafi Mamat dalam pilihanraya kecil DUN Pangkalan Pasir dalam Parlimen Mas pada 2005.
Maklum balas
Ketika itu, Che Johan berkata, jentera pilihanraya Umno telah membawa balik pengundi yang tinggal di luar Pengkalan Pasir termasuk di ibu negara dan tempat-tempat lain pulang mengundi.
"Umno mulai sekarang perlu mempunyai perancangan untuk mengenalpasti dan membawa pulang pengundi luar supaya mereka mengundi di tempat masing-masing.
"Ketika ini pengundi luar lebih cenderung menyokong Umno berdasarkan maklum balas kaji selidik yang dibuat ke atas mereka baru-baru ini," katanya.
Che Johan berkata, dalam pilihanraya umum 1999, kebanyakan mereka termasuk penyokong Umno telah mengundi PAS kerana faktor Anwar, manakala pada 2004, sebahagian besar telah mengundi Umno.
Beliau berkata, kekuatan Umno kini lebih menyeluruh ke setiap cawangan berbanding sebelum ini yang kuat di peringkat badan perhubungan dan bahagian sahaja.
Bagaimanapun, katanya, kemahuan pengundi Kelantan sukar diramal kerana biasanya mereka menilai pelbagai aspek dan hanya memilih calon yang mereka undi di saat-saat akhir.
Esok: PAS jangka menang tipis di Kelantan
Bhg 1: Umno, PAS terkena 'sumpahan' di K'tan?

