S Vell Paari - anak lelaki Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu - yang sejak beberapa hari lalu dikaitkan dengan kematian seorang pelakon wanita tempatan, K Sujatha, hari ini menafikan dakwaan tersebut, dan mendakwa ia dilakukan oleh "mereka yang tidak bertanggungjawab".

Sambil menafikan dakwaan tersebut, beliau yang juga seorang perniagaan, mendakwa perbuatan mereka itu adalah untuk kepentingan politik.

Vell Paari, 44, adalah ketua pegawai eksekutif Maika Holdings, syarikat pelaburan MIC.

Katanya, beliau menyedari mengenai kenyataan yang berniat jahat dan berunsur fitnah yang dibuat terhadapnya dalam beberapa akhbar berbahasa Tamil dan oleh orang politik yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, beliau akan mengadakan sidang akhbar untuk memperjelaskan perkara tersebut serta mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar dan mereka yang berkenaan.

Sujatha, 29, bekas pembantu peribadi Vell Paari di Maika Holdings, mati secara misteri pada 25 Jun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Jumaat lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, S Manikavasagam membuat laporan polis, mendakwa terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian Sujatha.

Beliau juga mendakwa telah menerima sepucuk surat dari orang yang tidak dikenali yang mendakwa Vell Paari terbabit dalam perkara itu.

Liputan media Tamil

Berikutan itu, beberapa akhbar berbahasa Tamil sering menyiarkan berita-berita mengenai perkara itu - kebanyakannya di muka depan - menggesa pihak polis supaya menyiasatnya.

Hari ini, salah sebuah akhbar berkenaan untuk pertamakalinya, menamakan Vell Paari, mengaitkannya dengan siasatan yang dijalankan oleh polis.

Ia juga menyiarkan di muka depannya berita mengenai Vell Paari disoalsiasat oleh polis pada hari Selasa dan Rabu.

Malaysiakini juga memetik sumber-sumber semalam mengatakan anak lelaki seorang menteri yang tidak disebut namanya, telah disoalsiasat oleh polis dalam siasatan sama ada wujud perbuatan jenayah dalam kes kematian pelakon wanita itu.

Dalam kenyataan hari ini, Vell Paari - yang telah mendiri rumahtangga dengan seorang seorang penyanyi popular Tamil yang juga seorang peguam - berkata beliau bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Katanya, beliau juga yakin bahawa namanya akan dibersihkan. Berita asal