Mesyuarat pimpinan kerajaan perpaduan Pulau Pinang memutuskan PKR akan kekal bertanding di DUN Sungai Bakap dalam pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan.

"Barisan kepimpinan telah memutuskan dengan sebulat suara PKR akan menghantar calon.

"Dengan semangat perpaduan dan kebersamaan, kia akan cuba memenangi kembali kerusi DUN Sungai Bakap yang sebelum ini sudah tiga penggal dipegang PKR (sebelum PN merampasnya pada PRN tahun lalu," kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang juga pengerusi PH negeri, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Turut serta adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang menyatakan nama calon belum dimuktamadkan namun pihaknya sudah ada lima nama dalam senarai pendek setakat ini.

Sementara itu, Chow turut mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid sebagai pengarah pilihan raya bagi PRK tersebut.

Dia berkata Mohamad akan dibantu empat timbalan dari PKR, Amanah, DAP dan BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan mengenai PRK itu.

Kerusi Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latif dari PAS pada 24 Mei lalu, selepas dimasukkan ke hospital mengalami keradangan dalam perut.

Pada pilihan raya negeri lalu, Allahyarham menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Terdahulu, Nurhidayah berkata dia bersedia jika diberi mandat untuk bertanding sekali lagi di kerusi DUN itu.

Menurutnya, jika diambil kira pengagihan kerusi dalam PRN lalu, Sungai Bakap merupakan kerusi yang diperuntukkan kepada calon wanita daripada PH.