Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Peluang masuk percuma ke destinasi pelancongan buat rakyat Melaka
Diterbitkan:  Jun 5, 2024 11:20 AM
Dikemaskini: 5:35 AM

Rakyat Melaka dan pemastautin di negeri itu berpeluang masuk percuma ke destinasi pelancongan di Melaka sempena ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam bermula 24 Ogos hingga 31 Dis ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tawaran masuk percuma itu melibatkan antaranya Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan Muzium Melaka.

"Tawaran berkenaan diberikan kepada pemilik kad pengenalan 04 dan pemastautin sebagai tanda penghargaan dan rasa gembira atas pelantikan semula Tun Mohd Ali Rustam selain sempena ulang tahun kelahiran Tun,” katanya.

Ab Rauf Yusoh

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena pelantikan Yang Dipertua Negeri Melaka malam tadi. Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Semalam, Mohd Ali, 75, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 bagi penggal kedua.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata tawaran percuma itu terhad kepada satu destinasi untuk seorang dan mereka boleh memilih lokasi pelancongan tersebut dan tarikh yang bersesuaian.

"Kaedah terperinci bagi menebus tiket percuma berkenaan akan saya umumkan dalam masa terdekat ini agar semua rakyat Melaka dapat menikmati tawaran berkenaan," katanya.

Kerajaan Melaka mengumumkan 24 Ogos depan sebagai cuti peristiwa sempena ulang tahun kelahiran Mohd Ali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS