P'raya umum: PKR sasar kerusi di kawasan bandar
Sasaran utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum akan datang ialah untuk mencapai kemenangan di kawasan yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan undi sebanyak 51 peratus sahaja, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sasaran utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum akan datang ialah untuk mencapai kemenangan di kawasan yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan undi sebanyak 51 peratus sahaja, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Lazimnya kawasan seperti ini merupakan kawasan bandar dan PKR akan memberi peluang kepada kaum Cina bertanding di kerusi tersebut," katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, PKR sudah bersiap sedia dan telahpun menyiapkan senarai calon bagi menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan awal tahun depan.
Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, pihaknya yakin akan mendapat kejayaan yang sama seperti dalam pilihanraya umum 1999 di mana parti itu menang lima kerusi Parlimen.
Katanya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding jika pilihanraya umum diadakan selepas April tahun depan setelah beliau bebas daripada larangan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Anwar disabitkan hukuman penjara enam tahun pada 1999 atas tuduhan salahguna kuasa dan ekoran itu, beliau tidak boleh bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun sehingga April tahun depan.
Pimpinan berwibawa
Sebelum itu, Dr Wan Azizah merasmikan Konvensyen Hari Keadilan Rakyat sempena ulangtahun keempat percantuman Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Gombak dekat ibunegara hari ini.
Selain daripada Anwar, Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali, pimpinan utama PKR dan ahli serta penyokong parti dari seluruh negara, menghadiri konvensyen tersebut yang berlangsung secara tertutup dan pihak media tidak dibenar mengikutinya.
Mengikut aturcara konvensyen, Anwar membentangkan kertas kerja bertajuk 'Agenda Ekonomi Negara', manakala Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim membentangkan bertajuk 'Menggantiikan DEB'.
Menurut Dr Wan Azizah lagi, ketika pihak media massa menggambarkan bahawa ahli PKR keluar parti, sokongan rakyat di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak, amat menggalakkan sekali.
Menurutnya, pilihanraya akan datang merupakan peluang terbaik untuk PKR, dengan pimpinan yang berwibawa dan teruji serta sokongan padu rakyat.
Sementara dalam ucapannya, beliau berkata, sambutan hari keadilan rakyat hari ini disambut dalam suasana dan bahang pilihanraya umum ke-12 yang semakin hampir.
Perubahan melalui p'raya
"Tanda-tandanya amat jelas kelihatan. Kerajaan sedang bertungkus lumus menanamkan perasaan gembira di kalangan rakyat di samping menghunjam pembangkang dengan serangan bertalu-talu," katanya.
Bagaimanapun, kata Dr Wan Azizah, PKR sebagai sebuah parti politik tetap berazam untuk membuat perubahan melalui pilihanraya.
Katanya, adalah lumrah dalam setiap perjuangan, pasti ada yang tercicir dan tersungkur di tengah jalan tetapi beliau tidak pernah berkecil hati atau berasa kesal.
Menurutnya, beliau amat bangga dengan mereka yang bersamanya sejak sembilan tahun lalu tetapi kerap juga "terkenang teman-teman lama yang sudah lama tidak kelihatan".
"Sembilan tahun bukannya sekejap. Antara mereka ramai yang seperti saya - a reluctant politician. Ketika dalam getir dan ketika ketandusan pemimpin akibat takut serangan BN, merekalah yang ke hadapan dan sanggup menggalang jawatan dengan penuh kesukaran - berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.
"Tiba-tiba sejak kebelakangan ini wajah tersebut semakin jarang bertemu dan saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat kepada mereka," katanya.

