Penjagaan anak: Wanita PKR anggap cadangan Najib hanya retorik BN
Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar mengkaji kemungkinan memberi kelonggaran kepada kakitangan wanita berhenti sementara untuk melahirkan anak, sebagai satu retorik politik semata-mata.
Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar mengkaji kemungkinan memberi kelonggaran kepada kakitangan wanita berhenti sementara untuk melahirkan anak, sebagai satu retorik politik semata-mata.
Naib Ketuanya, Haniza Talha berkata Wanita Keadilan melihat cadangan Timbalan Perdana Menteri itu, sebagai kenyataan politik bagi meraih sokongan kakitangan wanita di sektor awam.
"Permasalahan penjagaan anak bagi wanita yang bekerja sudah lama wujud, namun, usaha kerajaan khususnya Kementerian Wanita ternyata gagal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, cadangan mengadakan tempat penjagaan anak-anak di tempat kerja sudah lebih sepuluh tahun diperkenalkan tetapi sehingga hari ini belum nampak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
"Menurut Najib, kerajaan akan mengkaji kakitangan wanita untuk berhenti sementara sehingga anak mereka besar dahulu. Kata Najib: "'Saya tidak menyatakan ini sebagai keputusan tetapi sesuatu yang akan dikaji secara mendalam dan akan dipertimbangkan bila sampai masanya.'' Ternyata beliau hanya menabur janji bagi mendapatkan sokongan," kata Haniza lagi.
'Tunaikan tanggungjawab'
Persoalannya, kata Haniza, mengapakah kementerian wanita yang diwujudkan khusus bagi menjaga kepentingan wanita, tidak langsung memikirkan permasalahan tersebut sebelum ini?
"Mengapa ia perlu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, dan pada waktu ini?" soalnya lagi.
Beliau berkata, negara menuju ke arah status negara kelas satu tetapi permasalahan wanita yang asas seperti penjagaan anak, gagal ditangani oleh kerajaan, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Fenomena yang menyedihkan ini, tambahnya, berlaku adalah kerana tiada keazaman politik serta tiada keprihatinan di pihak kerajaan.
"Wanita Keadilan menggesa kerajaan BN berhenti beretorik bagi meraih sokongan tetapi tunaikan tanggungjawab terhadap rakyat jelata, khususnya kaum wanita," katanya.

