Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menghantar dua usul di Dewan Rakyat bagi membahaskan pendirian kerajaan serta kepentingan rakyat Malaysia terhadap isu berkaitan Palestin.

Menurut Wan Fayhsal, usul persendirian itu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Setiausaha Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 27(1) dan 27(3).

Menurutnya, usul pertama adalah untuk mempertimbang dan menarik semula keputusan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dilapor bakal dimiliki Blackrock Inc.

"Usul ini sangat penting dan berkehendak kerana ia melibatkan kepentingan aset dan kedaulatan negara. Blackrock Inc sebagai sebuah syarikat telah terlibat secara terus dalam membiaya aktiviti pembunuhan rakyat Palestin di sempadan Gaza.

"Maka penjualan sebahagian saham kepada syarikat ini adalah bercanggah dengan pendirian kerajaan Malaysia dan rakyat jelata yang menentang aktiviti pembedilan dan pembunuhan rakyat Palestin di sempadan Gaza," katanya menerusi surat yang dihantar kepada setiausaha parlimen, Rabu lalu.

Sementara itu, Wan Fayhsal berkata usul kedua adalah menggantikan penggunaan nama Israel kepada negara 'Palestin yang diduduki' atau 'Occupied State of Palestine'.

Sebelum ini beberapa pihak terutama pembangkang membantah perjanjian kerajaan menerusi Khazanah Nasional dengan GIP yang melibatkan penjualan sebahagian equiti syarikat MAHB .

Ini kerana Blackrock, iaitu syarikat pelaburan multinasional Amerika Syarikat pada Januari lalu mengumumkan dalam proses mengambil alih GIP pada harga AS$3 bilion (kira-kira RM14 bilion) secara tunai.

BlackRock ialah pengurus aset terbesar di dunia yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan memiliki pegangan dalam syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada tentera Zionis.