Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian siasat universiti swasta tak bayar gaji pekerja
Diterbitkan:  Jun 7, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan memanggil pengurusan sebuah universiti swasta terkemuka di Selangor setelah didakwa tidak membayar gaji kakitangan sejak tiga bulan lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkata bahawa pihaknya telah mengeluarkan saman hadir kepada pengurusan universiti itu untuk hadir ke Pejabat Tenaga Kerja Cyberjaya untuk siasatan.

"JTKSM telah menerima beberapa aduan berhubung kelewatan pembayaran gaji kepada kakitangan oleh sebuah universiti swasta di ibu negara melalui media massa dan juga e-mel. Pihak JTKSM melalui Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Cyberjaya telah bertindak melakukan siasatan dan mendapati aduan adalah berasas.

"Pihak pengurusan universiti mengakui mereka kini berdepan dengan krisis kewangan yang menyebabkan kelewatan bayaran gaji pada bulan April dan Mei, melibatkan 93 pekerja dengan gaji RM4,800 ke atas.

"Pegawai penyiasat telah mengeluarkan saman hadir kepada pengurusan universiti untuk hadir ke PTK Cyberjaya bagi memberikan keterangan lebih lanjut dan mengemukakan dokumen-dokumen lengkap," katanya.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 86 adalah tenaga kerja tempatan dan tujuh adalah tenaga kerja asing.

Menurut JTKSM lagi, pihak universiti mendakwa beberapa pekerja juga telah berhenti kerja tanpa meninggalkan maklumat lengkap, menyukarkan pihak universiti menguruskan isu berkenaan.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan hampir kesemua kakitangan sebuah universiti swasta terkemuka di Selangor didakwa tidak dibayar gaji sejak tiga bulan lalu dan meminta campur tangan kerajaan.

Sementara itu, JTKSM akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 iaitu kesalahan kelewatan bayaran gaji.

JTKSM juga menasihati pekerja untuk memfailkan kes buruh di bawah Seksyen 69 Akta Kerja 1955 yang membabitkan tuntutan terhadap majikan berkaitan baki gaji, gaji ganti notis, bayaran gaji kerja lebih masa, bayaran faedah-faedah penamatan perkhidmatan dan faedah-faedah lain.

"Bagi pekerja yang mengadu dan telah ditemui, mereka diminta hadir ke PTK sama untuk memfailkan kes buruh seperti mana prosedur kehendak Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pegawai buruh mengeluarkan perintah ke atas majikan.

"JTKSM melalui PTK Cyberjaya akan mengendalikan kes ini selaras dengan peruntukan perundangan perburuhan terpakai di bawah bidang kuasa JTKSM tanpa sebarang kompromi, serta akan memastikan hak-hak pekerja dilindungi dan majikan mematuhi undang-undang berkaitan pembayaran gaji.

"Pihak JTKSM juga akan mengambil langkah-langkah tegas untuk menyelesaikan isu ini dengan segera dan memastikan bahawa kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa hadapan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS