Mengarut dakwa saya buat keputusan Batu Puteh 'secara rahsia' - Dr M
Dr Mahathir Mohamad menafikan dia membuat keputusan secara bersendirian menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh pada 2018.
Sebaliknya, bekas perdana menteri itu berkata, keputusan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri ketika itu.
"Saya tak buat keputusan sendiri seperti didakwa. Yang ini memang mengarut. Saya pernah diberi taklimat oleh pakar undang-undang, termasuk dari luar negara.
“Kemudian, saya bawa isu ini ke jemaah kabinet memberitahu bahawa Malaysia dan Singapura sudah ada perjanjian untuk menerima apa juga keputusan ICJ berhubung Batu Puteh.

"Isu ini serius jika telah kita membuat perjanjian dan kemudian mungkir janji dengan membuat semakan. Nanti, membawa nama buruk kepada Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Ketika saya memberi pandangan saya di mesyuarat kabinet, kita sudah ada perjanjian sebelum ini dengan Singapura dan kita tak boleh mungkir janji, tiada menteri termasuk timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail (ketika itu) membuat sebarang bantahan.
"Jadi, mengarut jika mendakwa saya membuat keputusan sendiri," katanya di sidang media di Yayasan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Dia mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said yang pada 1 April lalu dilaporkan berkata, perdana menteri pada 2018 yang membuat “keputusan sembunyi-sembunyi” adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.
Pagi tadi, Mahathir turut tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Dia tiba di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada 10.46 pagi dan dilihat keluar selepas selesai memberi keterangan hampir dua jam.

"Prosiding hari ini adalah tertutup, jadi saya tidak boleh cakap apa-apa, tapi saya akan berjumpa dengan press (wartawan) untuk membuat penjelasan berkenaan dengan pemikiran saya, yakni bukannya rahsia. Apa yang berlaku di sini (prosiding) adalah rahsia," katanya.
Dia sebelum ini mengesahkan disapina untuk memberi keterangan kepada RCI berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Pulau Batu Puteh merupakan tunggulan batu dengan keluasan sebuah padang bola sepak, yang terletak di Selat Singapura yang menghadap ke arah Laut China Selatan. Rumah Api Horsburgh yang terdapat di situ dibina oleh pihak British pada 1851.
Pulau Batu Puteh terletak berhampiran dengan pulau-pulau sekitarnya seperti Batuan Tengah dan Tubir Selatan, yang menjadi subjek utama mengenai pertindihan antara Singapura dan Malaysia yang dibicarakan menerusi ICJ.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh adalah bmilik Singapura sementara Batuan Tengah milik Malaysia. Status Tubir Selatan pula akan ditentukan kemudian.

Menurut Mahathir, ketika Malaysia dan Singapura membawa perkara itu ke ICJ, kedua-dua negara bersetuju sedia menerima apa juga keputusan yang dibuat.
"Bekas menteri Syed Hamid Albar menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini Azalina tanpa menyebut nama mendakwa keputusan secara rahsia oleh seorang bekas perdana menteri sebab utama Malaysia gagal dalam kes tuntutan Batu Puteh.
Azlina juga mendakwa perdana menteri itu membuat keputusan sendiri untuk menarik balik tuntutan pada 28 Mei 2018 dua minggu sebelum tarikh bicara di Hague (Belanda) tanpa berbincang dengan peguam negara merujuk kepada Apandi Ali yang diberi 'cuti paksa' ketika itu.

Bagaimanapun, Mahathir menyindir Azalina sebagai seorang menteri tidak ada sebarang pengetahuan mengenai kes Batu Puteh.
Dia juga mendakwa Apandi sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.
"Azalina ini tidak tahu apa-apa mengenai kes ini. Apandi pula saya memberi dia 'garden leave'. Saya tak ada sebab berbincang dengan dia.
"Orang macam Apandi ini tak kerja betul-betul. Dia cuma nak berpuas hati 'boss' dia," kata Mahathir merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang melantik Apandi sebagai peguam negara menggantikan Abdul Ghani Patail pada 2016.
Sementara itu, Mahathir berkata bahawa dia tak faham kenapa orang menjadikan isu tuntutan Batu Puteh sedangkan Malaysia diberikan hak ke atas Pulau Batuan Tengah atau 'Middle Rock'.
"Saya tak dapat lihat kenapa orang membuat kritikan bila kita dapat 'Middle Rock' yang besar berbanding Batu Puteh.
"Bagi saya ICJ buat kerja yang bagus," katanya.

Ketika ditanya apakah dia akan mengemukakan tuntutan saman terhadap Azalina dan Apandi, Mahathir berkata: "Saya akan fikir dulu. Tapi, kamu tahu kes-kes saman akan ambil masa panjang seperti 10 tahun.
"Tapi, 10 tahun itu saya sudah berada di 'tempat lain'," katanya sambil tersenyum.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/7c071a477c6f83123598d4b5afa644db.jpg)
