Wanita maut dipercayai dipukul suami
Seorang wanita maut dipercayai selepas dipukul oleh suaminya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Simee di Ipoh hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mengesahkan kejadian itu berkata kes tersebut masih dalam siasatan oleh pasukan polis daerah Ipoh.
"Saya sahkan kejadian itu, siasatan penuh nanti saya akan minta daripada OCPD Ipoh (Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad) sebab mereka sedang kumpulkan semua bukti, masih dalam siasatan lagi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata polis turut menemukan barangan kes yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian jenayah itu antaranya pisau dan lower arm kereta, selain mengesahkan suspek telah ditahan.
Terdahulu, media melaporkan kejadian itu dikatakan bermula daripada pertengkaran antara mangsa dan suaminya sebelum suspek bertindak memukul mangsa.
Media turut melaporkan wanita itu dipercayai sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Sementara itu, Abang Zainal Abidin dalam kenyataan dikeluarkan kemudiannya berkata pihaknya menerima makluman daripada orang awam yang menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di kepala di rumah tersebut pada 9.26 pagi.
Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa wanita berusia 48 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di kawasan rumahnya dengan tiga kesan tikaman di bahagian dada dan kecederaan di bahagian kepala.
Hasil tindakan pantas siasatan polis, seorang lelaki berusia 56 tahun yang merupakan suami kepada mangsa telah ditangkap kira-kira jam 10 pagi oleh pihak polis daerah Ipoh bagi membantu siasatan.
"Permohonan reman akan dibuat pada 13 Jun 2024, 9 pagi di Mahkamah Majistret Ipoh," katanya dengan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.
Justeru, Abang Zainal Abidin memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut tampil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kes, ASP S. Dasarathan di talian 012-5644484 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/10/c5ce36274e24fa5afeab2500b0df3adb.jpg)
